KEPALA BATAS: Satu laluan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) di Tol Bertam dekat sini akan ditukar semula kepada laluan Smart Tag minggu hadapan.
Perkara itu dinyatakan Ahli Parlimen Kepala Batas yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican selepas isu terbabit turut meresahkan pengguna lebuh raya berkenaan.
“Kepada orang-orang Kepala Bataih (Batas), jangan risau. Insya-Allah, satu laluan RFID di Tol Bertam akan ditukar semula kepada laluan Smart Tag pada minggu hadapan. Ini jaminan yang telah diberikan kepada saya,” katanya dalam kenyataan menerusi laman sosial Facebooknya hari ini.
Menurut Reezal Merican, beliau turut menyuarakan isu RFID yang turut menyukarkan urusan penduduk yang perlu melalui Tol Bertam itu pada mesyuarat Jemaah Menteri semalam dan meminta pelaksanaannya diberi ‘soft-landing’ (pelaksanaan bertahap).
Katanya, beliau berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang bersedia mendengar dan memberi ‘direction’ (arahan) jelas supaya rakyat diberi pilihan untuk terus menggunakan laluan Smart Tag.
“Terima kasih juga kepada Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Kanan Kerja Raya yang cukup responsif serta pihak PLUS yang memberi komitmen untuk menyelesaikan perkara ini dengan segera,” katanya. – UTUSAN ONLINE