SHAH ALAM: Sampah pasca banjir di Taman Sri Muda di sini didapati paling tinggi dikutip pihak berkuasa setakat ini apabila sebanyak sebanyak 2,148 tan metrik berbanding 1,822 tan metrik kelmarin.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) secara keseluruhannya mengutip 2,630 tan metrik sampah dalam proses pembersihan semalam.
“Sejumlah 2,256 tan metrik sampah itu melibatkan kutipan di Klang manakala 374 pula di Petaling.
“Bagi kawasan Taman Sri Muda, sebanyak 2,148 tan metrik berjaya dikutip pada 1 Januari ini (semalam),” katanya menerusi Facebook.
Tambah beliau, kerja-kerja pembersihan masing-masing tujuh dan tiga lokasi di daerah Petaling serta Klang sudah selesai sepenuhnya.
“Ia melibatkan kawasan Seksyen 13, Seksyen 19, Seksyen 22 (Kampung Kebun Bunga), Seksyen 23, Seksyen 28 (Kampung Lanchong Jaya), Seksyen U1 (Taman Mesra) dan Seksyen U3 (Desa Subang Perantau).
“Bagi daerah Klang, kawasan itu di Seksyen 32, Seksyen 33 (Alam Indah) dan Seksyen 35 (Taman Desa Kemuning),” katanya.
Utusan Malaysia semalam melaporkan lebih 50 peratus sampah pasca banjir di Klang dan Taman Sri Muda selesai dikutip setakat ini.
Pegawai Daerah Klang, Mohd. Faizal Abdul Raji memberitahu operasi kutipan oleh MBSA, Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan KDEB Waste Management (KDEBWM) itu masih giat dilaksanakan secara berperingkat sehingga kini.
Kutipan berkenaan dijangka selesai sepenuhnya dalam tempoh dua minggu lagi.
Terdahulu, sejumlah 22,000 tan sampah sudah dikutip sepanjang sembilan hari operasi pembersihan pasca banjir dijalankan di Selangor termasuk kira-kira 5,000 tan sampah yang sudah dibawa keluar dari kawasan Taman Sri Muda. -UTUSAN ONLINE