Kitar semula catat hampir 10,000 tan metrik sepanjang 2021 – SWCorp - Utusan Malaysia

Kitar semula catat hampir 10,000 tan metrik sepanjang 2021 – SWCorp

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sasaran kadar kitar semula di seluruh negara semakin menghampiri matlamat ditetapkan oleh pihak kerajaan apabila sudah mencapai 31.52 peratus sepanjang tahun lalu.

Menurut Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal Awam (SWCorp) menerusi laman sosial rasmi agensi berkenaan, angka tersebut menokok daripada hanya 30.67 peratus pada tahun 2020.

“Kadar kitar semula di Malaysia didapati terus meningkat pada 2021 hasil pelbagai inisiatif dan idea dilaksanakan bagi menggalakkan masyarakat terus mengamalkan budaya itu,” katanya.

Kejayaan berkenaan ujar SWCorp lagi, turut disumbangkan daripada tabiat norma baharu rakyat iaitu pengasingan sisa di punca yang selari dengan matlamat Dasar Kebersihan Negara.

Berdasarkan hantaran yang berbentuk infografik disiarkan itu, agensi tersebut menunjukkan graf trend lonjakan bermula daripada 2018 cuma 24.6 peratus kepada 28.06 peratus pada 2019.

SWCorp turut memaklumkan bahawa sepanjang tahun lalu, kutipan barang kitar semula di seluruh negara malahan telah mencatatkan berat keseluruhan sebanyak 9,889,026 kilogram.

Daripada jumlah berkenaan, kutipan paling tinggi yang direkodkan agensi tersebut menerusi siri program kitar semula di kawasan perindustrian dan komersial dengan 7,320,865 kilogram.

Ini diikuti rancangan kitar semula dalam kalangan komuniti dengan seberat 1,359,479 kilogram manakala bank kitar semula di kawasan pejabat kerajaan pula mencatatkan 681,320 kilogram.

Tidak ketinggalan ialah program kitar semula di peringkat sekolah yang merekodkan 443,623 kilogram, institusi pengajian tinggi dengan 64,278 kilogram dan tadika sebanyak 19,458 kilogram.

“Teruskan usaha pembudayaan amalan kitar semula agar negara kita mampu mencapai kadar sebanyak 40 peratus menjelang tahun 2025 kelak,” jelas mesej hantaran nasihat SWCorp itu.

Langkah murni itu berupaya membantu pihak berkuasa tempatan untuk memanjangkan lagi tempoh hayat sejumlah 147 tapak pelupusan sisa pepejal yang beroperasi di seluruh negara.

Setiap hari, penduduk di negara ini termasuk warga asing, membuang 38,120 tan sisa pepejal atau congak secara purata sebanyak 1.2 kilogram sampah yang telah dijana setiap individu. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya