Kerajaan NS mohon bina tempat letak kereta di Jalan Temiang-Pantai - Utusan Malaysia

Kerajaan NS mohon bina tempat letak kereta di Jalan Temiang-Pantai

JALAN Temiang-Pantai yang mempunyai pemandangan menarik menjadi tular selepas ramai pengguna jalan raya memberhentikan kenderaan di lorong kecemasan di jalan tersebut untuk mengambil gambar sehingga mendatangkan rasa kurang senang pengguna jalan raya yang lain.UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan akan memohon kepada kerajaan Persekutuan bagi membina tempat meletakkan kenderaan di Jalan Temiang-Pantai yang menjadi tumpuan orang ramai untuk bergambar.

Tempat letak kereta tersebut dilihat demi keselamatan pengunjung selepas ramai yang mengambil tindakan memberhentikan kenderaan termasuk di lorong kecemasan sehingga membahayakan pengguna jalan raya yang lain.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, permohonan akan dibuat kerajaan negeri kerana jalan tersebut merupakan Jalan Persekutuan.

“Saya tidak sangka lokasi tersebut menjadi tumpuan orang ramai dan pengunjung dalam dan luar negeri melihat gunung-ganang yang juga tempat menarik. Oleh itu, pihak kerajaan negeri akan memohon kerajaan Persekutuan untuk membina tempat letak kereta yang bersesuaian dengan keselamatan jalan raya. 

“Saya turut ucapkan terima kasih kepada orang ramai yang melalui jalan tersebut yang memahami dan memandu perlahan. Saya difahamkan ada yang berbasikal dan berjogging di kawasan tersebut yang sudah menjadi lokasi tumpuan saban minggu,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri di sini hari ini. 

Sebelum ini, tular gambar dalam media sosial sekumpulan individu dipercayai ahli sebuah kelab kereta berkumpul di lorong kecemasan di Jalan Temiang-Pantai.

Sehubungan itu, Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Mohd. Fazley Ab Rahman berkata, pihaknya telah memanggil sekumpulan individu tersebut dan menegaskan tindakan seperti yang tular tersebut boleh mengundang bahaya.

Projek Jalan Temiang – Pantai itu bernilai lebih RM181 juta telah dilaksanakan oleh pihak Lapangan Kota Sdn. Bhd. dan telah disiapkan pada 23 Julai tahun lalu.

Sementara itu, Aminuddin berharap orang ramai yang melalui kawasan berkenaan agar dapat memperlahankan kenderaan dan memberi kerjasama kepada pengguna yang berada di situ. 

“Saya berharap pengguna jalan raya dapat memberi kerjasama ketika melalui jalan raya berkenaan susulan ramai yang memberhentikan kenderaan di lokasi tersebut,” katanya.  -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya