GUA MUSANG: Lebih 1,000 penduduk menyerbu Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) di sini yang menawarkan barangan asas lebih murah dengan potongan antara 10 hingga 50 peratus hari ini.
PJKM Peringkat Negeri Kelantan bertempat di Dataran Kesedar, di sini bermula pukul 8.30 pagi dan melibatkan penjualan 35 barangan asas termasuk ayam segar, sayuran, makanan proses dan barangan keperluan harian.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim berkata, program anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) itu bertujuan membantu rakyat terkesan musim tengkujuh serta pandemik Covid-19.
Malah, katanya, penduduk di jajahan Gua Musang yang terletak di selatan Kelantan sebenarnya paling teruk terbeban berbanding sembilan lagi jajahan lain di seluruh negeri ini.
“Sambutan luar biasa diterima apabila dalam masa kurang enam jam, barangan keperluan asas yang dijual habis dibeli oleh pengguna.
“Kita berharap program ini dapat dilakukan lebih kerap untuk membantu penduduk mendapatkan barangan asas dengan harga lebih murah,” katanya kepada pemberita di Dataran Kesedar hari ini.
Hadir sama, Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Gua Musang, Mohd. Koma Shapii.
Sementara itu, seorang pengunjung, Mimi Abdul Razak, 50, berkata, program itu wajar dibuat sekurang-kurangnya dua kali sebulan kerana ramai yang terlepas peluang untuk membeli-belah hari ini.
“Hari ini saya berpuas hati dapat membeli barangan dapur dan keperluan harian dengan harga lebih murah untuk kegunaan kami sekeluarga, walaupun terpaksa beratur panjang mengikut giliran,” katanya. -UTUSAN ONLINE