Faiz harap dapat bangkit, berjalan semula - Utusan Malaysia

Faiz harap dapat bangkit, berjalan semula

MUHAMMAD Afiq Aiman Shukri (belakang, kiri) menyampaikan sumbangan lampin pakai buang untuk kegunaan Muhammad Faiz Hafizuddin di Kampung Bukit Bidang, Selising, Pasir Puteh, semalam. - UTUSAN/TOREK SULONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR PUTEH: Bekas pelajar Maahad Tahfiz Al-Hashimi (MTAH) Muhammad Faiz Hafizuddin Mohd. Izahar yang lumpuh akibat nahas jalan raya mengharapkan kembali pulih walaupun impiannya menjalani rawatan di Jepun tidak kesampaian disebabkan kos yang terlalu mahal.

Sebagai ikhtiar, Muhammad Faiz, 22, kini gigih menjalani fisioterapi di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pemuda itu berkata, dia memasang impian untuk mendapatkan rawatan alternatif dengan seorang tukang urut tersohor di Air Itam, Pulau Pinang dikenali sebagai Apek.

“Hasrat untuk menjalani rawatan teknologi Jepun secara robotik tinggal impian kerana kos terlalu mahal iaitu RM500 sejam. Jadi, saya berhasrat berubat dengan Apek, namun masih tidak kesampaian kerana jauh dari rumah.

“Ini sekadar hasrat dan impian kerana saya terlalu rindu untuk bangkit dan berjalan sebagaimana dulu,” katanya ketika ditemui di rumah keluarganya di Bukit Bidang, Selising di sini semalam.

Terdahulu, Muhammad Faiz Hafizuddin menerima kunjungan Pengerusi Volunteer I Care (VIC), Muhammad Afiq Aiman Shukri yang prihatin terhadap nasibnya dan turut menyumbang lampin pakai buang bagi meringankan beban keluarga pemuda itu.

Utusan Malaysia baru-baru ini melaporkan keluarga pemuda itu bergelut dengan masalah kewangan bagi menanggung kos rawatannya, meskipun mereka menang dalam kes saman terhadap MTAH membabitkan nilai ganti rugi akibat kecuaian berjumlah RM4.3 juta.

Muhammad Faiz Hafizuddin dalam pada itu memberitahu, perbelanjaan rawatan susulan dan fisioterapinya menelan belanja ribuan ringgit, termasuk perlu menyewa ambulans dengan caj RM350 setiap kali ke HUSM.

“Hasil ikhtiar menerusi fisioterapi, saya kini mampu mengangkat badan dan boleh duduk di atas kerusi roda namun masih gagal mengendalikan alat sokongan itu kerana gerakan dan kekuatan jari dan tangan masih dalam proses pemulihan,” ujarnya.

Sementara itu, bapanya Mohd. Izahar Kassim, 54, berkata hasrat anaknya untuk mencuba kaedah rawatan alternatif akan diusahakan apabila sumber kewangan mereka sudah mencukupi.

“Perkembangan kesihatan anak saya semakin positif termasuk ingatan yang semakin kukuh. Dulu dia menderita sakit akibat kecederaan tulang belakang, paru-paru bocor dan pendarahan dalam kepala.

“Kini tinggal parut jahitan dan 18 skru besi di belakang leher dan tulang belakang. Walaupun lumpuh paras pinggang ke bawah, keadaan paha dan kakinya masih ada refleksi dan rasa kebas tanpa perubahan pada daging,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN