Beli-belah dalam kebun getah - Utusan Malaysia

Beli-belah dalam kebun getah

KERINDUAN pengunjung terubat apabila Nat Pokok Getah kembali dibuka selepas dua tahun ditutup ekoran pandemik Covid-19 di Pauh, Arau, Perlis semalam.- UTUSAN/SYED AZLAN SAYID HIZAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Kerinduan pengunjung membeli- belah di pasar pagi atau Nat Pokok Getah di Pauh di sini terubat apabila lokasi popular itu kembali beroperasi selepas hampir dua tahun ditutup ekoran penularan pandemik Covid-19.

Disajikan dengan suasana nyaman dan redup di bawah rimbunan pokok getah, pasar pagi yang beroperasi pada Jumaat dan Ahad itu antara lokasi cukup unik dan menjadi antara lokasi tarikan pelancong di negeri ini.

Sejak kembali beroperasi bermula Ahad lalu, pasar pagi yang menempatkan 235 peniaga di sebuah kebun getah di Jalan Pauh kira-kira empat kilometer dari bandar Arau itu dipenuhi pengunjung dari dalam dan luar negeri ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pengurusan tapak Nat Pokok Getah, Mohd. Azzaruddin Md. Lazim berkata, nat atau pasar pagi itu kembali dibenarkan beroperasi selepas mendapat kebenaran pihak berkuasa.

Katanya, dalam keterujaan kembali menjalankan perniagaan selain menerima kunjungan yang ramai, prosedur operasi standard (SOP) tetap diutamakan.

“Nat Pokok Getah beroperasi pada Jumaat dan Ahad bermula seawal pukul 7.30 pagi sehingga 1 tengah hari. Pelbagai barangan basah, pakaian, makanan, tumbuhan hiasan, barangan antik, barangan terpakai dan pelbagai lagi terdapat di Nat Pokok Getah

“Meskipun agak lama ditutup, selepas kembali beroperasi, pasar pagi ini tetap menjadi tumpuan ramai,” katanya.

Seorang peniaga kasut terpakai, Azizam Ahmad, 42, berkata, pembukaan semula Nat Pokok Getah memberi peluang kepada peniaga-peniaga kecil menambah pendapatan.

“Di sini (Nat Pokok Getah) sememangnya menjadi tempat tumpuan utama para pembeli kerana pasar pagi ini menyediakan banyak pilihan barangan. Kawasan ini menjadi tumpuan ramai kerana suasana membeli belah di bawah rimbunan pokok getah memberikan pengalaman sangat unik seperti di Pasar Khlong Ngea, Hatyai di Thailand,” katanya.

Seorang pengunjung, Elias Salleh, 60, pula berkata, dia bersama lapan ahli keluarganya yang datang dari Juru, Pulau Pinang singgah ke Nat Pokok Getah di sini selepas mendapat tahu lokasi tersebut kembali dibuka.

“Gembira apabila melihat Nat Pokok Getah yang cukup popular ini kembali dibuka. Saya juga berharap pihak pengurusan dapat menambah lebih banyak tandas di situ

“Selain itu, sebagai seorang peminat tanaman, saya berharap lebih ramai peniaga yang menjual anak pokok buah-buahan dan pokok hiasan di sini,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya