ARAU : Masalah kekurangan bekalan minyak masak peket bersubsidi di negeri ini semakin kritikal yang berlarutan sejak tahun lalu sekali gus menyusahkan pengguna serta peniaga.
Malah, rata-rata peniaga kedai runcit turut menzahirkan rasa bosan dan putus asa apabila masalah sama terus berulang tanpa ada jalan penyelesaian sejak sekian lama.
Walaupun keluhan demi keluhan dilakukan termasuk di media tempatan, namun, isu berkenaan masih terus berlarutan.
Selain berdepan dengan kekurangan bekalan minyak, para peniaga kedai runcit juga mengeluh kerana hanya mendapat untung sebanyak 10 sen sahaja bagi setiap peket minyak berbanding 15 sen pada tahun lalu.
Seorang peniaga kedai runcit, Zawiyah Man, 66, berkata, masalah kekurangan bekalan minyak masak ini sama sahaja pada setiap bulan iaitu tiada bekalan pada minggu keempat.
Katanya, situasi tidak berubah walaupun sudah banyak kali didedahkan oleh media dan seolah-olah tiada sebarang tindakan yang diambil pihak bertanggungjawab bagi mengatasi masalah kekurangan tersebut.
“Bukan itu sahaja, pihak kilang juga telah naikkan harga 5 sen, jadi kami dapat untung sekitar 10 sen sahaja bagi sepeket sedangkan mereka masih dapat subsidi. Andai kata, satu peket minyak masak pecah, cukup membuatkan kami terus menanggung kerugian.
“Kalau orang (pelanggan) nak beli minyak lebih pada satu, kami akan minta mereka beli barang yang lain juga. Kalau tak memang kami terpaksa hadkan sebab bekalan minyak memang tak banyak,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Sementara itu, peniaga kedai makan, Mansor Isa, 43, pula berkata, cukup susah mendapatkan bekalan minyak masak dan biasanya kedai runcit akan menjual sepeket atau dua sahaja.
“Macam saya yang berniaga nasi lemak dan pulut ayam mungkin tidak menggunakan banyak minyak macam kedai nasi campur. Kalau yang menjual banyak lauk pauk mungkin mereka lebih terkesan dari kami.
“Saya berharap kerajaan dapat menyelesaikan masalah kekurangan bekalan minyak masak ini supaya peniaga dan orang ramai tidak terbeban serta terkesan,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE