Bekalan limau mandarin berkurangan, harga naik - Utusan Malaysia

Bekalan limau mandarin berkurangan, harga naik

PERMINTAAN limau mandarin yang dijual Ng Ah Ling sangat tinggi namun bekalan pula berkurangan sekali gus menyebabkan harga meningkat di gerainya, di Pauh, Perlis hari ini.- UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Bekalan limau mandarin menjelang Tahun Baharu Cina tahun ini didakwa berkurangan disebalik permintaan yang cukup tinggi sekali gus menyebabkan harga turut meningkat.

Harga limau mandarin di pasaran dikatakan meningkat sehingga RM8 hingga RM10 sekotak membabitkan empat kilogram buah berkenaan.

Peningkatan tersebut didakwa berpunca daripada kekurangan bekalan buah berkenaan, masalah kekurangan kontena di China dan peningkatan caj penghantaran ke negara ini.

Difahamkan, pada sambutan Tahun Baharu Cina tahun lalu, harga bagi sekotak limau mandarin bagi empat kilogram ialah antara RM12 hingga RM13, namun, meningkat mencecah RM20 hingga RM21 tahun ini.

Ekoran itu, pemborong dan peruncit buah berkenaan tidak ada pilihan selain daripada menaikkan harga limau mandarin memandangkan permintaan juga tinggi.

Seorang peniaga dari Pauh, Ng Ah Ling,72, berkata, setiap tahun sempena Tahun Baharu Cina, dia menjual sekitar 10,000 kotak buah berkenaan.

Katanya, namun tahun ini, dia tidak pasti sama ada jualan bagi jumlah tersebut mampu dicapai atau sebaliknya berikutan kekurangan bekalan.

“Pada Selasa lalu, sebanyak 2,000 kotak diterima daripada pembekal bagi peringkat pertama dan habis dijual hanya dalam tempoh 24 jam. Meskipun harga meningkat namun permintaan masih tinggi.

“Penghantaran untuk kali kedua daripada pembekal pula masih belum diterima sedangkan kami menerima banyak permintaan daripada pelanggan.

“Pada tahun ini, kami berdepan masalah kekurangan buah berkenaan. Sebagai contoh, kita tempah dengan pembekal sebanyak 1,000 kotak, mungkin kami hanya boleh dapat sekitar 300 hingga kotak sahaja. Ia berbeza dengan tahun lalu, jika tempah 1,000 kotak, kita dapat dengan jumlah itu,” katanya.

Seorang lagi peniaga dari Kuala Perlis, Yeoh Min Yan pula berkata, meskipun tiga minggu lagi menjelang sambutan Tahun Baharu Cina, namun jualan limau mandarin sangat laris.

“Seperti tahun lepas ada prosedur operasi standard (SOP) yang ketat seterusnya permintaan agak kurang, namun tahun ini, permintaan tinggi namun bekalan pula berkurangan,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN