SEGAMAT: Seorang penternak terpaksa berputih mata apabila perlu menanggung kerugian hampir RM15,000 setelah ternakan itik, telur dan dedak haiwan itu terendam dalam banjir di sebuah ladang di Jalan Maryani, Kampung Jawa di sini.
Mohd. Azim Omar, 28, berkata, dia hanya sempat mengalihkan kira-kira 120 ekor itik jenis penelur itu, manakala lebih 600 ekor lagi ditemukan terendam dalam bah yang melanda kampung itu.
“Semuanya berlaku sekelip mata apabila air naik dengan mendadak, saya rancang mahu pindahkan itik-itik ini pagi ini tetapi pukul 2 pagi tadi saya ke ladang untuk melihat keadaan dan terkejut kerana air sudah naik ke paras dada.
“Saya tak dapat buat apa-apa untuk selamatkan itik serta telur itik yang disimpan di situ kerana bimbang keselamatan diri,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Menurut Azim, itik jenis penelur yang diternaknya bukanlah seperti jenis-jenis itik yang biasa dan boleh berenang lama di dalam air kerana spesis itu hanya mampu bertahan di dalam air selama satu jam sahaja dan tidak mampu lagi bertahan di dalam air yang sejuk sebelum lemas.
Walaupun terdapat itik yang sempat diselamatkan, dia khuatir kerana mungkin haiwan itu juga tidak dapat hidup lama kerana keadaan fizikal yang masih basah akibat terendam lama dalam air.
“Saya bukan sahaja kerugian RM9,000 kerana itik lemas, tetapi kira-kira 1,200 biji telur itik yang bernilai RM960 turut hanyut dibawa banjir.
“Malah, selain itik dan telur, sebanyak 20 beg dedak juga sudah rosak akibat terendam dalam air. Satu beg dedak berharga RM133 dan keseluruhanya mencecah RM2,660 bagi kesemua beg makanan haiwan itu,” katanya.
Azim yang baru menceburi bidang ternakan itik penelur itu sejak setahun lalu mengakui bukan mudah untuk dia bangkit semula selepas kejadian banjir ini apatah lagi itik yang dapat diselamatkan pun mengambil masa sebulan untuk kembali bertelur kerana trauma.
“Secara normal, itik penelur ini mampu bertelur setiap hari dengan sebiji telur setiap ekor tetapi itik penelur yang berada dalam keadaan trauma dan tekanan akan menyebabkan bulunya luruh.
“Ia memerlukan cuaca yang panas dan penternak perlu memberi suplemen serta vitamin bagi itik penelur ini kembali sihat dan pulih sebelum ia bersedia untuk kembali bertelur,” kata pemegang Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Rekod, UiTM Segamat itu.
Sehubungan itu, dia mengharapkan bantuan segera dapat dihulurkan pihak berkaitan kerana ternakan yang memakan modal sebanyak RM25,000 itu adalah sumber utama mata pencariannya. -UTUSAN ONLINE