Asrama harian ‘selamatkan’ murid luar bandar - Utusan Malaysia

Asrama harian ‘selamatkan’ murid luar bandar

JEAN Jotasia (kanan) bersama Rivea dan rakan lain semasa sesi mengulang kaji pelajaran di asrama desa SK Pekan Tongod.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Perjalanan menuju ke sekolah yang agak mencabar menyebabkan Nur Alya Natasya Iksan, 12, hanya bersekolah sekali sahaja dalam tempoh seminggu.

Itu situasi yang sering dialami oleh pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Balambangan, Banggi, Kudat ini sejak tahun satu sehingga tahun empat.

Namun, apabila memasuki tahun lima, Nur Alya mengambil keputusan untuk tinggal di asrama agar dapat memberi fokus kepada pelajaran.

“Asrama harian bagi pelajar luar bandar sangat penting kepada kami. Ia bolehkan kami berada di sekolah sepanjang minggu.

“Sebelum tinggal asrama, ada kalanya saya datang ke sekolah sekali sahaja dalam seminggu, terutama semasa musim hujan kerana kami perlu menaiki bot dan ada kalanya terpaksa berjalan kaki selama sejam untuk ke sekolah” katanya kepada Utusan Malaysia.

Murid yang tinggal di Kampung Kok Simpul itu berkata, berada di asrama senang untuk belajar kerana tiada gangguan.

Dia amat bersyukur kerana asrama harian yang dibina oleh Petronas itu membolehkan murid yang tinggal jauh sepertinya dapat menikmati kemudahan asrama yang lebih baik.

Sementara itu, Rivea Graciella,12, yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Tongod berkata, kebanyakan murid di sekolah itu mula tinggal di asrama semasa berada pada tahun lima supaya lebih mudah untuk belajar.

“Apabila berada di asrama, kami mempunyai waktu yang tetap untuk belajar dan itu membolehkan saya lebih fokus. Malah, saya juga boleh belajar berdikari apabila berada di asrama,” katanya.

Ceritanya lagi, jarak rumah ke sekolah kira-kira 30 minit menaiki kenderaan dan itu menyebabkan ada kalanya dia tidak hadir ke sekolah jika kenderaan yang ditumpang bermasalah.

Jean Jotasia Donly,12, berkata, dia tinggal dekat dengan sekolah namun, dia tetap tinggal di asrama desa kerana ingin belajar bersama kawan-kawan.

Katanya, sekiranya berada di asrama, ada guru-guru yang boleh dirujuk jika mempunyai sebarang soalan berkaitan pelajaran. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya