JERANTUT: Pengusaha pusat inap dan penggiat ekopelancongan Taman Negara Kuala Tahan dan perkampungan Melayu pesisir Sungai Tembeling di Hulu Tembeling daerah ini mula mencongak peluang pendapatan selepas air Sungai Tembeling surut ekoran musibah banjir yang berlaku pada minggu lalu.
Walaupun masih ada amaran angin luruan monsun yang diramalkan berlaku sehingga 2 Januari depan yang membawa kejadian laut bergelora di Pantai Timur dan hujan lebat berterusan, kemungkinan air Sungai Tembeling dan Sungai Pahang di daerah ini akan mengalami banjir semula, tetapi, mereka yakin pengunjung akan hadir semula ke taman peranginan itu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pekerja hospitaliti dan penggiat burung liar Taman Negara, Sabri Abdullah berkata, senario cuaca yang cerah di Taman Negara dan air Sungai Tembeling sudah surut boleh dilalui bot penambang, kemungkinan pengunjung domestik akan memenuhi semula taman peranginan tersebut bermula cuti hujung minggu ini sehingga awal tahun depan.
“Bagaimanapun, kita akur dengan arahan pihak berkuasa serta amaran angin luruan monsun yang diramalkan berlaku sehingga 2 Januari dengan mengambil kira aspek keselamatan dan kebajikan pengunjung termasuk prosedur operasi standard (SOP) arahan Majlis Keselamatan Negara.
“Berasaskan pengalaman musim pejur berlaku tahun-tahun sebelum ini, Taman Negara Kuala Tahan tidak menunggu lama untuk pulih kerana pengunjung domestik sentiasa memfokuskan destinasi ini untuk dikunjungi kerana perbelanjaan murah dan menarik,” katanya di sini semalam.
Penggiat ekopelancongan Kampung Kuala Sat, Alias Hashim berkata, selepas air surut, mereka perlu mencongak peluang pendapatan kerana tempoh musim pejur dan banjir hampir seminggu lalu di samping sebelum ini tekanan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan sektor tersebut terbantut.
“Kita bersedia menerima pengunjung domestik untuk datang bersiar di sini memandangkan cuaca baik dan kemudahan jalan raya yang ditenggelami banjir sudah boleh dihubungkan di antara bandar Jerantut ke Taman Negara dan perkampungan di Hulu Tembeling,” katanya.
Alias yang juga pengusaha pusat inap menambah, sejak air surut tiga hari lalu, pengunjung luar tidak putus-putus menghubunginya ingin mengetahui status cuaca dan pembukaan aktiviti ekopelancongan semula malah menyatakan keinginan untuk berkunjung pada cuti hujung minggu ini.
Pengusaha pusat inap Greenland Kuala Tahan, Afzal Abd. Aziz berharap senario musim pejur tidak akan berulang semula pada awal tahun depan bagi membolehkan sektor ekopelancongan di Taman Negara dan Hulu Tembeling kembali aktif.
“Tempoh pemulihan selepas berakhir musim pejur ini, peluang bagi pengusaha dan penggiat dapat mencongak semula pendapatan apabila pengunjung mula memfokuskan destinasi hutan tropika yang berusia lebih 130 juta tahun ini termasuk perkampungan di Hulu Tembeling,” katanya.
Ujarnya, peluang pendapatan berkenaan membolehkan pengusaha dan penggiat yang ratanya penduduk tempatan menguruskan semula perbelanjaan hospitaliti, pengangkutan, makanan dan lojistik antara pakej utama sebagai penjana merancakkan semula sektor tersebut. -UTUSAN ONLINE