'Tak mampu tukar alat peranti' - Utusan Malaysia

‘Tak mampu tukar alat peranti’

AHMAD AWANG DERANI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIPIS: Penduduk khususnya di luar bandar pasti terkesan apabila rangkaian 3G ditamatkan sepenuhnya pada 31 Disember ini kerana tidak mampu untuk menukar alat peranti atau telefon bimbit yang menyokong rangkaian 4G.

Selain masalah alat peranti, penduduk di kawasan pedalaman masih berdepan kesukaran memperoleh capaian internet ekoran rangkaian yang tidak meluas.

Bagaimanapun, penduduk khususnya di daerah ini menyambut baik inisiatif Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) bagi mempersiapkan negara ke arah peralihan teknologi 5G.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Kampung Chegar Perah, Lipis, Ahmad Awang Derani berkata, perubahan rangkaian itu akan memberikan manfaat kepada semua pihak dengan peningkatan kapasiti, kelajuan dan liputan jalur lebar.

“Negara ini sudah memasuki pemulihan sektor ekonomi selepas pandemik Covid-19 dan memberikan banyak manfaat apabila beralih kepada liputan 4G dapat mempercepatkan urusan masing-masing dalam bidang usahawan dan perniagaan.

“Cuma kemungkinan kebanyakan penduduk luar bandar masih menggunakan alat peranti dalam rangkaian 3G yang tidak dapat ditukar kepada liputan 4G sekali gus memerlukan (peranti) yang baharu serta mampu menyokong fungsi atau liputan 4G,” katanya di sini semalam.

Ketua Kampung Tanjung Buloh, Lipis, Najid Abu pula menyokong peralihan tersebut yang dianggap signifikan bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada orang ramai dari segi pengalaman yang lebih baik ketika melayari internet menerusi kelajuan jalur lebat 4G.

“Namun ada sesetengah kawasan di luar bandar dan pedalaman masih lagi belum ada capaian internet yang sempurna misalnya di kampung saya sendiri ada sesetengah lokasi masih belum boleh diakses dengan talian internet dan telefon,” katanya.

Selanjutnya Najid menambah usaha SKMM meningkatkan liputan 4G dan kapasiti untuk memasuki asas liputan 5G merupakan langkah terbaik kerajaan, tetapi akan timbul masalah kepada golongan B40 dan miskin yang menggunakan alat peranti yang kurang canggih.

Ketua Kampung Kuala Sat, Jerantut, Abdul Jabar Dollah berkata, penduduk luar bandar dan pedalaman masih keliru dengan peralihan liputan tersebut, tetapi dia berpandangan ia baik kepada negara yang sudah melangkah ke bidang teknologi komunikasi lebih tinggi serta peralatan yang canggih.

“Apapun terkesan juga bagi penduduk luar bandar yang menggunakan alat peranti 3G untuk menyediakan peralatan yang baharu dan canggih yang boleh mengakses maklumat menerusi liputan 4G.

“Bagi pandangan saya, peralihan jalur lebar 4G memberikan kemudahan pembangunan sektor ekopelancongan dan pasaran makanan tempatan menerusi pusat internet sekiranya direalisasikan sepenuhnya pada 2022,” katanya.

Penduduk Kampung Pagi, Hulu Tembeling, Mustapa Abdullah, 24, pula berkata, pelajar di luar bandar dan pedalaman akan berdepan cabaran apabila peralihan kepada 3G khususnya ketika pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR), makmal komputer dan kelas.

“Saya difahamkan kebanyakan kampung di mukim Hulu Tembeling antara lokasi pedalaman di Jerantut yang belum mendapat capaian yang meluas ketika masih dalam liputan 3G.

“Kita berharap SKMM segera menaik taraf jalur lebar di semua lokasi (bukan kampung berdekatan pencawang) serta pembabitan banyak syarikat telekomunikasi selepas peralihan ini walaupun penduduk terpaksa menanggung beban belanja alat peranti baharu,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya