Tadika akan berpindah ke lokasi baharu - Utusan Malaysia

Tadika akan berpindah ke lokasi baharu

SESI perbincangan yang diadakan antara polis, pengusaha tadika, wakil ibu bapa dan penduduk yang tidak berpuas hati dengan bunyi bising daripada anak-anak yang belajar di pusat asuhan tersebut diadakan semalam.-UTUSAN/NOR SHAFAWATI YUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sebuah tadika di Bandar Sri Sendayan di sini yang didatangi tiga lelaki selepas dipercayai tidak tahan dengan bunyi bising anak-anak yang belajar di pusat asuhan tersebut akan berpindah ke lokasi baharu.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, satu perjumpaan telah diadakan pada pukul 4 petang semalam antara pengusaha tadika, wakil ibu bapa dan salah seorang daripada tiga lelaki tersebut yang merupakan penduduk yang tinggal di belakang tadika berkenaan.

“Perbincangan berlangsung hampir tiga jam dan melalui kata putus pengusaha tadika akan mengubah lokasi namun di mana ia akan ditentukan kemudian.

“Sebagai OCPD (Ketua Polis Daerah) Seremban, saya berharap perkara ini tidak diperbesarkan seperti ditularkan di media sosial dan dianggap selesai,” katanya ketika ditemui selepas turut serta dalam perbincangan di sebuah tadika di Bandar Sri Sendayan di sini semalam.

Menurut Nanda, semua pihak perlu menjaga ketenteraman awam bagi mengelak insiden tidak diingini berlaku.

“Tidak timbul isu menakutkan sebaliknya ini hanyalah persepsi masing-masing. Dalam tempoh satu ke dua bulan ini, ada penduduk yang tinggal di belakang tadika ini tidak berpuas hati dengan gangguan bising  (dari tadika) kerana anaknya belajar online (secara dalam talian), itu alasan dia.

“Pemantauan secara rondaan berkala oleh pihak polis akan dijalankan di kawasan sekitar tadika dari semasa ke semasa,” katanya yang memberitahu tadika tersebut beroperasi sejak September 2017.

Sebelum ini, media melaporkan tiga lelaki bertindak mengamuk di sebuah tadika di Bandar Sri Sendayan di sini, Isnin lalu selepas dipercayai tidak tahan dengan bunyi bising kanak-kanak yang belajar di pusat asuhan tersebut.

Tiga rakaman video yang memaparkan kejadian tersebut turut tular di media sosial Facebook sehingga menimbulkan pelbagai reaksi netizen.

Menerusi keterangan pada video yang tular  di Facebook, kejadian itu berlaku pada pukul 11.45 pagi, 13 Disember lalu dan suspek dikatakan telah menggunakan besi mengetuk pintu tadika sambil mengeluarkan perkataan yg berunsur mengugut. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya