KANGAR : Dahulu, kawasan rekreasi Sungai Batu Pahat di sini menjadi antara lokasi yang sering menjadi tumpuan pengunjung beriadah khususnya pada hujung minggu.
Malah, lokasi tersebut ketika itu boleh dikatakan sentiasa padat dengan orang ramai yang membawa ahli keluarga mandi-manda selain berkelah sambil menikmati keindahan alam sekitar.
Namun kini, suasana tersebut sudah tidak dirasai dan kawasan yang terletak berhampiran Taman Ular dan Reptilia itu dilihat semakin kurang tarikan.
Pemerhatian Utusan Malaysia di kawasan rekreasi tersebut hari ini, mendapati terdapat kurang 20 pengunjung yang mandi-manda serta berkelah di situ.
Selain itu, terdapat juga longgokan ranting kayu kering serta sampah sarap yang dihanyutkan air berhampiran tebing konkrit di sungai tersebut selain rumput panjang di kawasan hulu sungai.
Seorang pengunjung, Jamnah Ahmad, 59, berkata, kurangnya aspek penyelenggaraan dan penjagaan menyebabkan kawasan rekreasi tersebut sudah tidak secantik dan semeriah dahulu.
Katanya, dapat dilihat tandas awam dan bilik persalinan rosak serta tidak berfungsi sekali gus menimbulkan ketidakselesaan kepada pengunjung terutama wanita.
“Dahulu, kehadiran pengunjung yang mandi-manda di sungai berkenaan mencecah 40 hingga 50 orang pada satu-satu masa dan suasananya sangat meriah. Hari ini, kita dapat lihat kawasan ini tidak diselenggara dengan baik dan kurang penambahbaikan,” katanya.
Tambahnya, selain itu, kios-kios menjual makanan atau minuman ringan perlu disediakan di situ bagi menarik lebih ramai pelancong dan memudahkan pengunjung.
Seorang lagi pengunjung, Alias Abdullah, 49, pula berkata, pihak bertanggungjawab perlu melakukan penyelenggaraan berkala terutama melibatkan aspek keselamatan pengunjung.
Katanya, bahagian tebing yang dilihat berlumut dan licin menyebabkan risiko kecederaan kepada pengunjung seperti kanak-kanak yang gemar berlari.
“Keadaan gelongsor air yang tidak rata selain jubin yang pecah atau serpih juga mampu menyebabkan luka kepada orang ramai yang bermain air di kawasan ini. Aspek kebersihan juga perlu diambil berat dengan perlu adanya penambahan tong-tong sampah agar kawasan ini nampak bersih dan kemas,” katanya.
Justeru, Alias berharap penyelenggaraan berterusan dapat dilakukan di Sungai Batu Pahat kerana kawasan tersebut sangat menarik dan mampu kembali menjadi tarikan pelancong. -UTUSAN ONLINE