PETALING JAYA: Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim semalam mengeluarkan kenyataan berbau merajuk kerana kehadirannya ke Stadium Nasional Bukit Jalil bagi menyaksikan perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia di antara Kuala Lumpur (KL) City FC dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak disedari pengacara yang bertugas.
Menerusi status di Facebook, Shahidan berkata, selain tidak disebut nama, pengacara juga tidak menjemputnya turun ke padang bagi meraikan pasukan KL City yang menjuarai Piala Malaysia setelah 32 tahun menanti.
“Semalam, saya hadir perlawanan bola sepak KL City lawan JDT. KL City champion. Tahniah. Pengacara tidak jemput saya turun ke padang. Pengacara juga tidak sebut nama saya…Sokay,” luah Shahidan.
KL City menewaskan kelab gergasi negara, JDT 2-0 dalam saingan Piala Malaysia, yang memasuki usia 100 tahun, semalam.
Selain Shahidan, hadir pada perlawanan akhir Piala Malaysia semalam ialah Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Khalid Abdul Samad dan Penasihat KL City, Tan Sri Annuar Musa.
-UTUSAN ONLINE