ResQ UPSI tunaikan amanah penyumbang mangsa banjir - Utusan Malaysia

ResQ UPSI tunaikan amanah penyumbang mangsa banjir

PASUKAN ResQ UPSI membersihkan rumah mangsa banjir di Temerloh dengan menggunakan peralatan yang baru dibeli hasil sumbangan orang ramai. - UTUSAN/IHSAN UPSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANJUNG MALIM: Kesungguhan Pasukan ResQ Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) membantu mangsa banjir di beberapa lokasi mendorong orang ramai untuk terus menyumbang kepada pasukan sukarelawan itu dalam pelbagai bentuk termasuk peralatan mencuci rumah mangsa banjir. 

Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff mengucapkan terima kasih kepada semua penyumbang yang prihatin menyokong inisiatif Pasukan ResQ UPSI membantu mangsa banjir. 

“Semua yang menyumbang sangat kami hargai dan ini membakar semangat anggota sukarelawan UPSI untuk bergerak ke lokasi-lokasi yang memerlukan sumbangan tenaga untuk mencuci rumah mereka,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.

Beliau melahirkan kebanggaan atas kesanggupan kakitangan dan pelajar yang sanggup berkorban masa dan tenaga demi pertimbangan kemanusiaan dan keprihatinan membantu mangsa banjir. 

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya Dr. Norkhalid Salimin berkata, sukarelawan Pasukan ResQ sentiasa bersemangat  untuk berbakti secara berpasukan dan menghayati semangat kebersamaan Keluarga Malaysia. 

“Dengan berbekalkan semangat itu, mereka tidak terasa penat, malah, puas dengan segala sumbangan bakti untuk insan yang memerlukan bantuan,” jelasnya. 

Ketua Unit Penajaan dan Sumbangan Pasukan ResQ, Naim Rehman berkata, beberapa penyumbang yang enggan nama mereka didedahkan itu menyumbang wang tunai untuk membeli tiga unit penyembur air berkuasa tinggi untuk kegunaan lasak bagi tujuan pembersihan rumah mangsa banjir. 

Selain itu, mereka turut menyumbangkan satu unit kompresor untuk kegunaan membersih serta satu unit jana kuasa untuk membekalkan elektrik sekiranya kawasan yang dituju tidak mempunyai bekalan elektrik.

“Peralatan waterjet lama sebelum ini digunakan secara optimum sejak 19 Disember hingga hari ini,” jelasnya lagi.

Justeru, dengan peralatan baharu itu, katanya,  akan memudahkan urusan Pasukan  ResQ untuk bekerja dengan lebih cekap dan pantas bagi tujuan misi pembersihan bantuan banjir.

Menurut Naim, aset baharu tersebut mula digunakan hari ini untuk misi pasca banjir di Semantan, Temerloh, Pahang yang membabitkan 32 sukarelawan diketuai pensyarah Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan, Farizul Athir Mohd. Ramli dan diiringi Pengarah Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Prof. Madya Dr. Mohd Azlan Nafiah.

Seterusnya, esok misi membantu di Kampung Batu Kapur, Mentakab, Pahang, dan destinasi seterusnya tertakluk kepada keperluan semasa.  

UPSI bukan sahaja aktif menggerakkan sukarelawan memberi sumbangan barangan keperluan dan bantuan tenaga penyelamat, malah, menghantar pasukan bantuan asas psikologi bertemu penduduk yang menghadapi trauma disebabkan banjir.  

Mana-mana pihak yang ingin memberi sumbangan kepada Tabung UPSI Prihatin boleh disalurkan ke akaun Bank Islam Malaysia Berhad di nombor akaun 08068010003264. – UTUSAN ONLINE 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya