Perokok tegar di Melaka dikompaun lebih RM63,000 - Utusan Malaysia

Perokok tegar di Melaka dikompaun lebih RM63,000

MUHAMAD AKMAL Saleh (tengah) bertanyakan sesuatu kepada pelanggan sebuah kedai makan di Ayer Keroh, Melaka ketika Operasi Khas Penguatkuasaan SOP PPN Fasa 4 dan PPKHT. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) mengeluarkan kompaun sebanyak RM63,600 kepada perokok yang dikesan merokok di kawasan larangan terutama kedai makan. 

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, sebanyak 303 kompaun dan 278 notis dikeluarkan sehingga 7 Disember lalu membabitkan kesalahan merokok. 

Katanya, tindakan itu diambil mengikut Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004. 

“Sehingga 7 Disember lalu, sebanyak 303 kompaun berjumlah RM63,600 dikeluarkan kepada perokok tegar yang dicekup merokok di kawasan larangan terutama di kedai makan atau restoran. 

“Daripada jumlah itu sebanyak RM42,455 kompaun telah diselesaikan oleh perokok terbabit,” katanya dalam sidang akhbar selepas Operasi Khas Penguatkuasaan SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4 dan PPKHT di sekitar Ayer Keroh, malam tadi.

Dalam operasi itu, seramai 10 perokok dikenakan kompaun selepas didapati bertindak selamba merokok dalam sebuah kedai makan di Bukit Beruang di sini. 

Salah seorang daripada mereka turut menunjukkan rasa tidak berpuas hati, namun, tindakan kompaun tetap diteruskan oleh penguat kuasa JKN. 

Mengulas lanjut, Muhamad Akmal berkata, pada operasi itu, sebanyak 24 premis telah diperiksa dan 10 kompaun dikeluarkan membabitkan kesalahan merokok. 

“Satu kompaun dikeluarkan kepada pemilik kedai makan kerana tidak memaparkan tanda larangan merokok. 

“JKN tidak akan bertolak ansur dalam penguatkuasaan yang melarang orang awam merokok di premis makanan selaras dengan kehendak Artikel 8 FCTC iaitu melindungi orang awam daripada bahaya asap rokok,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kompaun bernilai RM12.3 juta telah dikeluarkan sejak Mac lalu terhadap individu dan syarikat yang melanggar Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342).

Katanya, seramai 609 individu dikesan gagal menggunakan aplikasi MySejahtera, selain kesalahan popular tidak memakai pelitup muka. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya