GEORGETOWN: Lembaga Wakaf Hindu Negeri Pulau Pinang (PHEB) tetap akan mengadakan perarakan pedati sempena sambutan Thaipusam pada 18 Januari depan.
Keputusan itu dibuat di sebalik larangan Kerajaan Persekutuan seperti dinyatakan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique di Dewan Rakyat semalam berikutan negara sedang berdepan jangkitan varian baharu Covid-19, Omicron ketika ini.
Pengerusi PHEB, Dr. P. Ramasamy berkata, larangan perarakan itu tidak masuk akal dan tidak boleh diterima memandangkan sebahagian besar rakyat ketika ini sudah lengkap divaksin selain ada yang menunggu untuk mendapatkan dos penggalak.
Malah, katanya, kebanyakan negeri juga berada pada fasa empat perintah kawalan pergerakan (PKP) dengan sebahagian besar aktiviti kembali kepada situasi normal termasuk pilihan raya juga telah dibenarkan diadakan.
“Dalam situasi wabak yang semakin pulih, perarakan pedati sempena Thaipusam seharusnya dibenarkan di bawah syarat prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
“Sehubungan itu, kita menggesa Halimah menarik balik larangan perarakan itu atau kita tidak mempunyai pilihan selain mengingkarinya sekiranya keputusan tersebut tidak berubah,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Ketika ditanya mengenai implikasi undang-undang sekiranya PHEB tetap mengadakan perarakan pedati itu kelak, Ramasamy yang juga Timbalan Ketua Menteri II berkata, pihaknya bersedia berdepan dengan sebarang kemungkinan tersebut.
Dalam masa sama jelasnya, PHEB juga telah mendapat pandangan dan nasihat daripada pihak polis bagi memastikan perarakan pedati itu di sini kelak berlangsung mengikut SOP dan pematuhan undang-undang seperti ditetapkan.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif PHEB, Datuk M. Ramachandran turut melahirkan rasa terkejut dengan pengumuman Halimah memandangkan larangan tersebut langsung tidak disebut ketika mesyuarat mengenai sambutan berkenaan bersama pihak kerajaan pada 2 Disember lalu.
Malah ujarnya, dalam mesyuarat yang turut dihadiri pemimpin penganut agama Hindu dari Perak; Kedah; Selangor dan Johor itu, persetujuan telah dicapai untuk mengadakan perarakan tersebut dengan mematuhi SOP yang ketat.
Antaranya kata beliau, termasuk mengehadkan jumlah mereka yang akan berarak mengiringi pedati itu iaitu hanya 20 orang seperti diminta PHEB di sini selain tiada upacara memecah kelapa.
“Jadi, ikut tertanya-tanya pemimpin agama Hindu mana yang dimaksudkan oleh Halimah ketika mendakwa keputusan melarang perarakan pedati itu turut mendapat persetujuan pemimpin berkenaan sedangkan dalam mesyuarat terbabit larangan tersebut langsung tidak disentuh?” katanya. -UTUSAN ONLINE