PEKAN: Seorang peneroka terkorban akibat banjir apabila disedari hilang dipercayai hanyut dibawa arus di Ladang Blok 10, Felda Chini 2 di sini hari ini.
Mayat mangsa, Che Rustam Che Su, 34, yang dilaporkan hilang kira-kira pukul 11.05 pagi ditemukan di ladang kelapa sawit pada pukul 3.30 petang tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, usaha mencari mangsa dilakukan Pasukan Penyelamatan di Air (PPDA) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pekan yang membuat selaman di lokasi mangsa terjatuh.
“Mangsa ditemukan di dasar sungai dengan kedalaman tujuh meter dan berjaya dinaikkan oleh pasukan mencari dan menyelamat.
“Mayatnya telah diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Ismail berkata, berdasarkan laporan awal, kejadian bermula ketika mangsa keluar ke ladang bersama bapanya dengan menaiki motosikal secara berasingan.
“Sewaktu meredah air yang melimpah di atas jalan di kawasan berparit, mangsa dikatakan telah hilang.
“Kejadian itu disedari oleh bapa mangsa sendiri dan setelah membuat pencarian di kawasan tersebut hanya menemui motosikalnya sahaja,” katanya.
Operasi mencari dan menyelamat mangsa dilakukan dengan kekuatan anggota JBPM dari Balai Bomba dan Penyelamat Pekan dan Chini seramai 10 orang serta dibantu penduduk setempat. -UTUSAN ONLINE