IPOH: Restoran makanan barat terkenal, Me’nate Steak Hub melebarkan sayapnya apabila membuka cawangan baharu yang juga yang pertama di utara Semenanjung iaitu di Jalan Dato Seri Ahmad Said, Greentown di sini kelmarin.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Syed Ashraf Syed Ali berkata, pembukaan Me’nate Steak Hub Ipoh sejajar dengan perancangan pihaknya untuk memperluaskan lagi jenama tersebut bermula di negeri utara.
Menurut beliau, pertambahan satu lagi cawangan itu juga merupakan petunjuk positif pada aliran perniagaan premis makanan tersebut walaupun perancangan tertangguh disebabkan pandemik Covid-19.
“Selepas tujuh cawangan di Lembah Klang, Melaka, Negeri Sembilan dan Johor, memang kami telah rancang seterusnya ke negeri utara, jadi cawangan selepas ini adalah di Pulau Pinang dan Sungai Petani.
“Kami sememangnya mempunyai pelanggan yang ramai dari Perak khususnya Ipoh yang sanggup datang jauh-jauh ke premis Me’nate Steak Hub di Lembah Klang, jadi dengan pembukaan premis ini orang Perak tidak perlu lagi jalan jauh,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa ditemui selepas majlis pembukaan Me’nate Steak Hub Ipoh yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi.
Menurutnya, perancangan seterusnya ialah untuk menguasai negeri Pantai Timur pula yang akan menjadi lokasi seterusnya bermula di Kelantan, Kuantan di Pahang dan Terengganu.
“Me’nate Steak Hub merupakan sebuah restoran makanan barat berasaskan stik selain masakan barat dan ala Itali, makanan laut dengan rangkaian pelbagai jenis daging yang kesemuanya diimport,” katanya.
Menyentuh soal harga, katanya, pelanggan tidak perlu bimbang kerana restoran itu menawarkan pelbagai variasi menu bermula pada harga yang paling rendah hinggalah pada harga paling mahal.
“Sesiapa sahaja boleh datang makan di Me’nate Steak Hub. Pada mereka yang biasa makan makanan barat terutamanya daging pasti boleh membezakan hidangan yang disajikan di sini berbanding premis lain.
“Pelanggan boleh melihat menu dan harganya, jadi tidak timbul tanggapan Me’nate Steak Hub hanya untuk golongan berada sahaja, sebaliknya ia untuk semua peringkat pelanggan,” katanya. -UTUSAN ONLINE