PETALING JAYA: Koordinasi antara agensi dalam proses memberi bantuan, operasi mencari dan menyelamat perlu diutamakan bagi memudahkan proses membantu mangsa-mangsa banjir.
Ketua Penerangan Parti Bersatu Pribumi Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, koordinasi yang baik masih belum menyeluruh sehinggakan masih berlaku kecelaruan di antara agensi-agensi dalam melakukan operasi tersebut.
Menurut beliau, sebagai Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu lebih aktif dalam menentukan koordinasi operasi bantuan kerana bencana yang dihadapi negara adalah masalah besar dan tanggungjawab membantu rakyat mestilah digalas olehnya.
“Perdana Menteri sendiri mesti lebih aktif dalam mengepalai koordinasi operasi bantuan ini. Bencana ini adalah bencana yang besar dan tanggungjawab utama membantu rakyat mestilah diletak di atas bahunya.
“Pastikan pihak bomba, tentera, Angkatan Pertahanan Awam dan semua agensi terbabit bergerak secara tersusun supaya proses bantuan dan pembersihan tidak bertindan dan semua yang terkesan akan dapat dibantu,” tulisnya di laman Facebook.
Sebelum ini, tular sebuah klip video yang memaparkan seorang wanita mangsa banjir meluahkan perasaan kecewanya kepada Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berhubung tindak balas agensi kerajaan dalam melaksanakan operasi menyelamat ketika hari kejadian.
Wan Saiful berkata, semasa dirinya turun padang untuk membantu mangsa-mangsa banjir di Hulu Langat, beliau mendapati koordinasi di sana amat lemah dan mangsa banjir di sana ramai tertanya-tanya di mana keberadaan agensi kerajaan.
Bagaimanapun, beliau mengakui penambahbaikan koordinasi sudah dilakukan apabila kelihatan kenderaan agensi-agensi keselamatan negara namun masih tidak menyeluruh.
“Dua hari lepas semasa saya dan skuad PTPTN Prihatin mula membantu di Hulu Langat, saya lihat koordinasi amat lemah dan mangsa banjir ramai yang tertanya-tanya mana agensi kerajaan.
“Tetapi pagi ini apabila Skuad PTPTN Prihatin sekali lagi turun padang, sudah kelihatan kenderaan pelbagai agensi dan koordinasi pun sudah mula ada. Penambahbaikan sudah mula kelihatan, cuma saya rasa ia belum menyeluruh,” katanya. -UTUSAN ONLINE