Inovasi rumah solar ikan masin - Utusan Malaysia

Inovasi rumah solar ikan masin

MOHD. NOR Ibrahim memeriksa ikan masin yang dijemur menggunakan teknologi rumah solar di Kampung Ramuan China Besar, Alor Gajah, Melaka. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Nasib sebuah keluarga nelayan di Kampung Ramuan China Besar, di sini berubah selepas menggunakan teknologi rumah solar untuk perniagaan ikan masin yang diusahakan.

Ketika ditemui Utusan Malaysia, Mohd. Nor Ibrahim, 63, berkata, sejak menggunakan rumah solar tersebut enam bulan lalu, pendapatannya meningkat tiga kali ganda mencecah RM3,000 sebulan.

Katanya, kini nasib keluarganya berubah, malah mampu menampung sepenuhnya pendidikan dua anaknya yang melanjutkan pengajian ke peringkat universiti.

“Dulu pendapatan jualan hanya sekitar RM1,000 sebulan, namun selepas memakai rumah solar ini, memang pendapatan meningkat kerana ikan-ikan lebih cepat kering dan kebersihannya terjamin.

“Kini saya boleh memasarkan minimum 50 bungkus ikan masin dengan pendapatan sehari mencecah RM125 sehari atau pernah mencecah hampir RM4,000 sebulan,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai rumah solar tersebut, Mohd. Nor memberitahu, bantuan itu diberikan oleh Jabatan Perikanan negeri kepada dua nelayan di kawasan tersebut.

“Saya sebenarnya tidak sangka menjadi salah seorang penerima rumah solar ini yang diberikan melalui geran khas bernilai RM62,000.

“Selain rumah ini, saya turut diberikan peti sejuk beku, mesin pembungkusan plastik dan bekas khas digunakan bagi menyimpan ikan.

“Rumah solar ini suhu di dalamnya sentiasa panas, kalau cuaca di luar lembap, perantinya akan menyedut kelembapan itu untuk memastikan suhu dalam keadaan terkawal,” katanya.

Jelasnya, ikan masin tersebut mengambil masa sekitar dua hari untuk kering sepenuhnya, namun sekiranya cuaca hujan berterusan pada musim tengkujuh, hasil jualan akan kering dalam masa empat hari.

Ujarnya, antara ikan masin yang dihasilkan adalah jenis kurau, bulu ayam, pari dan gelama yang dijual mengikut permintaan pelanggan dalam pek 100 gram sehingga satu kilogram. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya