PETALING JAYA: Honda Malaysia mengumumkan Program Bantuan Banjir buat pemilik kenderaan Honda yang terkesan akibat banjir yang berlaku baru-baru ini.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Madoka Chujo berkata, pihaknya turut bersedih dengan situasi bencana banjir yang berlaku mengakibatkan ramai terpaksa meninggalkan kediaman mereka serta berdepan dengan kerugian kerana kerosakan harta benda dan kenderaan.
“Melalui Program Bantuan Banjir Honda bermula 23 Desember 2021 sehingga 31 Januari 2022, kami berharap ia dapat membantu mengurangkan beban pelanggan yang terbabit dengan bencana itu dan terus kekal selamat dalam tempoh mencabar ini.
“Pemilik kenderaan yang terkesan akan ditawarkan diskaun sebanyak 25 peratus untuk alat ganti tulen menerusi program itu.
“Pelanggan yang melanggan Honda Insurance Plus (HiP) boleh menikmati pemeriksaan percuma untuk memastikan kereta dalam keadaan baik terutama sekali selepas banjir,” katanya dalam kenyataan.
Sebagai tambahan, pelanggan HiP yang mengalami kerosakan akibat banjir juga disediakan dengan khidmat trak tunda untuk dibawa ke pusat servis Honda sah berhampiran dan menerima elaun banjir sehingga RM1,500.
Sementara itu, Motosikal dan Enjin Nasional Sdn. Bhd. (Modenas) turut mengumumkan Kempen Servis Prihatin MODENAS untuk pemilik motosikal Modenas yang mengalami kerosakan akibat banjir.
Menurut Modenas, dengan kempen tersebut, syarikat bersedia untuk menyediakan perkhidmatan kepada pemilik untuk membaiki motosikal mereka supaya dapat berfungsi seperti sediakala.
“Kempen tersebut bermula semalam hingga 31 Disember 2021, di Pusat Servis Modenas yang terletak di Shah Alam, Selangor dan Kuantan, Pahang,” katanya dalam kenyataan.
Antara perkhidmatan yang ditawarkan di bawah kempen tersebut ialah, caj upah kerja percuma untuk baik pulih biasa, pemeriksaan percuma, pembersihan motosikal percuma, diskaun sehingga 25 peratus untuk alat ganti, diskaun sehingga 5 peratus untuk alat ganti skuter dan diskaun sehingga 70 peratus ke atas caj buruh untuk pembaikan yang melibatkan overhaul.
Untuk maklumat lanjut, pemilik motosikal yang terjejas boleh menghubungi mana-mana Pusat Servis MODENAS yang sah atau menghubungi Talian Careline MODENAS di 1-800-880-181 atau WhatsApp di 019-570 8135. -UTUSAN