GEORGETOWN: Sebelum pandemik Covid-19 melanda, Jeti Chew di Pengkalan Weld di sini yang merupakan salah satu pusat pelancongan di negeri ini menjadi antara lokasi utama yang dikunjungi pelancong asing terutama dari China dan Singapura.
Bagaimanapun, situasi Covid-19 mengubah keadaan di Jeti Chew yang mana perkampungan nelayan di atas laut itu kini hanya dikunjungi pelancong tempatan selepas rentas negeri dibenarkan awal Oktober lalu.
Menurut seorang peniaga aksesori dan penduduk di situ, Chew San Guan, 65, dia rindukan suasana jeti itu yang meriah dan dihidupkan dengan kedatangan pelancong asing serta pelbagai aktiviti masyarakat di situ.
Namun.katanya, dia memahami situasi Covid-19 pada masa ini di seluruh dunia menyebabkan pintu sempadan negara masih belum dapat dibuka kepada pelancong asing.
“Dahulu di jeti ini seawal pukul 6 pagi kami sudah sibuk dan bersiap sedia untuk mengemas barang jualan seterusnya membuka gerai jualan kepada pelancong asing.
“Sekarang hanya pelancong tempatan yang datang dan jumlah jualan hanya cukup untuk menampung belanja harian,” katanya ketika ditemui di Jeti Chew, di sini hari ini.
San Guan berkata, penduduk dan para peniaga di kawasan itu berharap pelancong asing akan kembali melawat Jeti Chew selepas ini.
“Penduduk di kawasan ini amat berjaga-jaga dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mencegah penularan wabak Covid-19.
“Kami sentiasa mengingatkan ahli keluarga supaya berwaspada dengan mengamalkan pemakaian pelitup muka serta cecair pembasmi kuman ketika berada di luar,” katanya.
Seorang lagi peniaga, Chew Suan Sap, 60, berkata, jualan aiskrimnya masih mendapat sambutan daripada pelancong tempatan yang berkunjung ke kawasan itu.
“Memang keadaan tidak sama seperti sebelum ini, pelancong ada namun tidak seramai dahulu seperti ketika pelancong asing boleh melawat negara ini.
“Kami berharap rentas negara dibenarkan selepas ini dan lokasi ini meriah seperti dahulu,” katanya. -UTUSAN ONLINE