PASIR PUTEH: Bekas pelajar Maahad Tahfiz Al-Hashimi (MTAH), Muhammad Faiz Hafizuddin Mohd. Izahir yang lumpuh selepas terbabit dalam nahas jalan raya empat tahun lalu bertekad mahu menghafal semula 30 juzuk al-Quran.
Muhammad Faiz Hafizuddin, 21, sebelum ini sememangnya seorang hafiz, namun selepas koma selama 168 hari akibat tragedi yang turut mengorbankan tujuh rakannya itu, memorinya terjejas dan kesemua 30 juzuk al-Quran hilang dari ingatan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Muhammad Faiz Hafizuddin berkata, dalam keadaan diri lumpuh dan lemah tidak berdaya ketika ini, dia bersyukur apabila masih diberi kesempatan Allah SWT untuk menghafal al-Quran sehingga juzuk tiga.
“Syukurlah kerana ingatan saya dikembalikan-Nya, sudah boleh bercakap dan solat sambil baring atau duduk dengan bantuan keluarga. Saya guna waktu selepas solat subuh untuk menghafal kembali al-Quran selain isi waktu dengan berzikir.
“Saya sedang menjalani fisioterapi dan bila sudah mampu berkerusi roda nanti, saya ingin kembali bersekolah, berguru dan bertalaqqi, tetapi bukan di MTAH lagi,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Bukit Bidang, Selising, di sini semalam.
Akhbar ini semalam melaporkan, keluarga pemuda itu bergelut dengan masalah kewangan bagi menanggung kos rawatan Muhammad Faiz Hafizuddin, meskipun menang dalam kes saman terhadap MTAH membabitkan nilai ganti rugi akibat kecuaian berjumlah RM4.3 juta.
Bapanya, Mohd. Izahir Kassim, 53, berkata, ia sekadar ‘kemenangan di atas kertas’ kerana anaknya belum pernah menerima sebarang manfaat pengurusan ilat daripada mana-mana pihak hingga ke hari ini.
Pengasas MTAH, Datuk Adnan Hashim sebelum ini pernah mendedahkan pusat tahfiz itu bakal disita, sekali gus terpaksa berhenti menawarkan pengajian percuma kepada 60 pelajar miskin kerana tidak mampu membayar ganti rugi RM4.3 juta kepada Muhammad Faiz Hafizuddin.
Dalam pada itu, ibunya Jahsuriawany Mustapha, 49, berkata, selepas anaknya ditimpa musibah, banyak pihak tampil menghulurkan bantuan seperti Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) serta wakil rakyat kawasan itu dan golongan dermawan.
Namun katanya, selepas tular berita keputusan mahkamah, semua bantuan kebajikan pelbagai pihak yang prihatin dihentikan kerana kononnya sudah menang RM4.3 juta walhal dalam tiga tahun ini tiada sebarang bayaran diterima.
“Kami kini 100 peratus mengharapkan wang pencen askar suami dan sedikit sumber perniagaan dalam talian yang saya usahakan, selain bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 sebulan untuk menguruskan Muhammad Faiz Hafizuddin,” katanya.
Dalam nahas pada 7 Ramadan 2017, van dinaiki 14 warga MTAH menuju ke Kota Bharu dipandu guru pengiring mereka terbabas lalu merempuh sebuah rumah di tepi jalan di Kampung Telekong, Kuala Krai.
Tujuh pelajar maut manakala tujuh lagi terselamat termasuk Muhammad Faiz Hafizuddin. Ketika kejadian, mereka dalam perjalanan menghadiri program tafsir al-Quran dan siasatan lanjut polis mendapati pemandu van berkenaan tiada lesen memandu. -UTUSAN ONLINE