KEMAMAN: Bekas wartawan sambilan akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo! Biro Terengganu, meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu akibat Covid-19.
Allahyarham Sapee Mat Junus, 60, menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 5 pagi ini selepas ditidurkan buat kali kedua, tiga hari lalu.
Sapee yang menetap di Felda Cherul 1 di sini berkhidmat selama kira-kira dua tahun dengan syarikat terdahulu akhbar ini iaitu pada 2011 hingga 2012.
Adiknya, Alias, 50, berkata, abangnya dimasukkan ke HSNZ dua minggu lalu dan disahkan dijangkiti Covid-19 tahap lima.
“Arwah pernah ditidurkan sebelum ini dan dia menunjukkan perkembangan positif serta kembali sihat, namun, tiga hari lalu, dia terpaksa ditidurkan semula selepas oksigen dalam badan berkurangan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Alias berkata, jenazah Sapee dikebumikan di kampung halaman mereka di Kampung Bari Kecil, Setiu. -UTUSAN ONLINE