Buli: Mufti sifatkan kurikulum pendidikan agama, moral gagal di sekolah - Utusan Malaysia

Buli: Mufti sifatkan kurikulum pendidikan agama, moral gagal di sekolah

TANGKAP layar rakaman video kejadian buli pelajar yang tular dalam media sosial hari ini. - UTUSAN/MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Gejala buli yang masih berlaku dalam kalangan pelajar menjadi petunjuk yang mana kurikulum pendidikan agama dan moral yang digunakan di sekolah-sekolah selama ini gagal atau kurang berkesan dalam membentuk sahsiah para pelajar. 

Mufti negeri, Datuk Seri Dr. Wan  Salim Wan Mohd. Noor berkata, ini kerana isu senior membuli junior di sekolah-sekolah berasrama penuh terus muncul dari semasa ke semasa. 

WAN SALIM WAN MOHD. NOOR

Tambah beliau, semua pihak tidak seharusnya memandang remeh kepada pendidikan agama dan moral kerana jika diselidiki terbukti gejala buli berpunca daripada kekeringan nilai akhlak dan adab pelajar. 

“Pihak Kementerian Pendidikan perlu berusaha ke arah menambah baik kurikulum pendidikan akhlak dan moral di sekolah termasuk dari sudut amalan atau praktikal supaya lebih berkesan dalam pembentukan sahsiah pelajar. 

“Tidak syak lagi ini berkait rapat dengan ketandusan nilai akhlak dan kepincangan adab kesopanan dalam kalangan sebahagian pelajar kita yang perlu dicari jalan penyelesaian segera oleh pihak berwajib terutama Kementerian Pendidikan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Sebelum ini, tular video mengenai kejadian buli membabitkan pelajar di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Kangsar dan susulan kejadian itu Jawatankuasa Disiplin Maktab (JDM) bertindak menamatkan pengajian 10 pelajar  yang dikenal pasti terlibat dalam kes buli itu. 

Menurut Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Azhar Abdul Manaf, mesyuarat JDM telah mengkaji kes tersebut dengan teliti dan mengambil keputusan menamatkan pengajian pelajar terbabit berkuat kuasa hari ini. 

Menurut Wan Salim, ibu bapa mungkin patut dipertanggungjawabkan kerana menyerahkan pendidikan moral anak-anak sepenuhnya kepada sekolah. 

“Bagaimanapun, tidak wajar menuding jari kepada mana-mana pihak kerana tanggungjawab dalam pendidikan moral atau akhlak perlu dipikul bersama oleh ibu bapa, sekolah, masyarakat dan termasuk media,” katanya. 

Dalam pada itu Wan Salim turut mencadangkan para penyelia asrama perlu dilantik daripada mereka yang berakhlak mulia dan terlatih dalam kemahiran kaunseling. 

“Ini supaya dapat mereka menjadi contoh teladan kepada pelajar di samping memainkan peranan membimbing dalam menghayati nilai-nilai moral yang terpuji dalam kehidupan dan pergaulan pelajar,” katanya.  -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya