JOHOR BAHRU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor menasihati rakyat negeri ini agar berhati-hati dengan perubahan cuaca yang boleh menyebabkan banjir memandangkan musim tengkujuh ketika ini.
Pengarahnya, Datuk Yahaya Madis berkata, sehubungan itu masyarakat awam turut diminta memerhatikan ramalan kaji cuaca semasa dan situasi banjir yang berlaku khususnya di Selangor dijadikan peringatan buat semua yang berada di lokasi jarang banjir.
“Walaupun sesebuah kawasan itu jarang berlaku banjir, tetapi itu tidak bermaksud tiada kemungkinan bencana itu boleh terjadi lebih-lebih lagi apabila hujan turun berterusan untuk satu tempoh yang lama.
“Oleh itu, masyarakat awam diminta untuk sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan selain mematuhi arahan dikeluarkan pihak berkuasa,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Kelmarin, enam negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Kelantan, Terengganu dan Pahang terjejas akibat banjir ekoran fenomena Lekukan Tropika yang menyebabkan taburan hujan tinggi.
Tambah Yahaya lagi, penduduk negeri ini khususnya yang berada di kawasan Mersing dan pesisir pantai diingatkan untuk mengambil langkah penjagaan tambahan.
“Kami akan terus memantau ramalan kaji cuaca di seluruh negeri ini ekoran beberapa negeri termasuk negeri di pantai timur yang telah terjejas akibat bencana banjir.
“Sehubungan itu, kami hanya membenarkan 20 peratus daripada keseluruhan 1,300 pegawai dan anggota untuk memohon cuti namun mereka perlu kekal berada di dalam negeri.
“Mereka perlu sentiasa bersedia untuk dipanggil bertugas sekiranya bencana banjir berlaku di mana-mana bahagian negeri ini,” katanya sambil memaklumkan seramai sembilan anggota beserta tiga buah bot digerakkan untuk membantu bencana banjir di Selangor. -UTUSAN ONLINE