MERSING: Sanggup berhenti kerja sebagai juruteknik di sebuah kilang demi membantu keluarga di kampung, kini seorang pemuda di Felda Tenggaroh 2 di sini, sudah bergelar usahawan kelulut.
Mohd. Mahat Tumiran, 36, berkata, dia bersama isteri, Norlina Abdul Karim, 36, mula berhijrah kembali ke kampung pada tahun 2013 bagi membantu perusahaan nurseri milik keluarga mentuanya.
Katanya, pada peringkat awal terlibat membela kelulut, dia hanya sekadar berminat untuk mendapatkan madunya sahaja.
“Semua orang tahu akan khasiat madu kelulut yang bagus untuk kesihatan, sebab itu saya bela untuk dapatkan madunya tambahan pula di tempat nurseri ibu mertua ini lokasi sesuai untuk kelulut mendapatkan makanan.
“Tapi pada 2016 saya mula menjadi pembekal bagi sarang kelulut bermula dengan 15 sarang dan alhamdulillah semakin lama semakin mendapat sambutan daripada pembeli yang kini sudah lebih 140 sarang telah berjaya dijual.
“Saya kemudian menjadi pembekal untuk sekolah-sekolah serta jabatan kerajaan dan kini saya turut membekalkan sarang kelulut untuk Program Pembangunan Peneroka (PPP) Felda,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Bapa kepada tiga orang anak itu berkata, ternakan kelulut kini menjadi ‘trend’ di kawasan bandar yang mana penduduknya semakin minat membela kelulut di kawasan kediaman masing-masing.
Tambahan pula untuk ternakan kelulut tidak memerlukan kawasan yang luas kerana kelulut akan terbang sekitar 500 meter sahaja untuk mencari makanan.
Jelas Mohd. Mahat, purata bagi satu sarang kelulut boleh menghasilkan sehingga empat kilogram madu bagi tempoh setahun.
“Penjagaan madu kelulut amat mudah dan tidak cerewet cuma ia tidak boleh terdedah pada cuaca yang panas. Ternakan ini sesuai bagi mereka yang mahu membuat pendapatan tambahan disamping boleh digunakan sendiri untuk makanan tambahan kesihatan.
“Selain menjadi pembekal sarang kelulut kami juga menghasilkan produk hiliran madu kelulut dalam bentuk paket agar mudah diminum,” katanya. -UTUSAN ONLINE