GEORGETOWN: Lebih 100 buah beca di Pulau Pinang bakal diberikan imej baharu tahun depan bagi menarik lebih ramai pelancong menggunakan perkhidmatan pengangkutan tertua itu di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Yeoh Soon Hin berkata, perancangan untuk memberikan transformasi kepada imej beca di negeri ini tertangguh selama hampir dua tahun ekoran pandemik Covid-19.
“Kerajaan negeri akan menyalurkan peruntukan kepada pemilik beca untuk menambah baik imej beca, kebersihan serta meningkatkan tahap keselamatan penarik beca dan pengguna.
“Langkah ini akan dilaksanakan Januari depan dan perincian mengenainya seperti berapa jumlah peruntukan, warna baharu beca dan sebagainya akan diumumkan dalam tempoh terdekat,” katanya ketika ditemui di Lebuh Armenian, di sini hari ini.
Terdahulu, Soon Hin menyerahkan bakul makanan sumbangan One Hope Charity and Welfare kepada 80 penarik beca di pusat bandar.
Menurut Soon Hin, pada masa ini terdapat kira-kira 167 penarik beca yang berdaftar dan mereka turut menerima bantuan bulanan berjumlah RM200 sumbangan kerajaan negeri.
“Perubahan imej pada beca nanti diharapkan dapat membantu menjana pendapatan kepada penarik beca dan memberi lebih keyakinan kepada pelancong menggunakan perkhidmatan itu,” katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Penarik Beca Pulau Pinang, Abdul Latiff Mohd. berkata, pihaknya menyambut baik usaha kerajaan negeri memberikan imej baharu kepada beca di negeri ini.
“Ada beca yang sudah lama dan mungkin tidak menarik pada pandangan mata pelancong.
“Jadi dengan perubahan imej beca nanti kami berharap lebih ramai pelancong akan menggunakan perkhidmatan kami,” katanya.
Bagi penarik beca, Mohd. Ibrahim Mohd, 68, berkata, dia juga berharap wajah baharu beca kelak akan menarik lebih ramai pelancong ke Pulau Pinang dan memberikan lebih pendapatan buat penarik beca.
“Pada masa ini hanya pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad kami tidak pulang dengan tangan kosong, tetapi hari-hari lain agak sukar untuk kami mendapatkan pelanggan.
“Apa pun saya tetap bersyukur kerana masih dapat mencari rezeki berbanding tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dahulu,” katanya. -UTUSAN ONLINE