Aktiviti ATV pertama di Perlis - Utusan Malaysia

Aktiviti ATV pertama di Perlis

ZULKARNAIN ABD. AZIZ membawa pengunjung merasai pengalaman mencuba kenderaan lasak pelbagai bentuk permukaan bumi atau lebih dikenali all terrain vehicle (ATV) di kawasan sekitar hutan Bukit Ayer, Kangar, Perlis hari ini.- UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR : Keterujaan dan ketenangan. Itu yang dapat dinikmati para pengunjung yang merasai pengalaman mencuba kenderaan lasak pelbagai bentuk permukaan bumi atau lebih dikenali all terrain vehicle (ATV) di kawasan sekitar hutan Bukit Ayer, di sini.

Menariknya, aktiviti ATV berkenaan adalah yang pertama di Perlis diperkenalkan oleh pengusaha Kompleks Basikal Lasak, Zulkarnain Abd. Aziz,56, di kawasan ekopelancongan itu sekali gus menjadi tarikan baharu di negeri ini.

Pada peringkat awal, sejak diperkenalkan dua minggu lalu, Zulkarnain menyediakan tiga buah motosikal beroda empat itu yang menggunakan bateri sekali gus dapat memulihara persekitaran hutan berkenaan.

Zulkarnain berkata, pengunjung yang menaiki ATV tersebut boleh melalui laluan di sekitar dusun Bukit Ayer, hutan simpan, Bukit Bintang, ladang anggur dan harumanis di sini.

Katanya, sesiapa sahaja boleh mencuba ATV berkenaan dan mereka dibimbing serta diberi taklimat keselamatan sebelum menunggang kenderaan tersebut.

Ujarnya, sejak dua minggu lalu, sambutan yang diterima sangat memberansangkan khususnya bagi mereka yang meminati aktiviti lasak itu.

“Kita memperkenal pakej mari mencuba ATV dengan harga dikenakan adalah RM120 sejam dan RM70 untuk setengah jam. Aktiviti tersebut dibuka pada hari Jumaat, Sabtu serta Ahad dan berdasarkan tempahan.

“Kita mendapat sokongan daripada Jabatan Perhutanan yang menyediakan tempat, fasiliti dan kebenaran menggunakan laluan di hutan simpan berkenaan. Aktiviti tersebut juga sebagai salah satu usaha kita menyokong eko pelancongan di negeri ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, di sini semalam.

Tambah Zulkarnain, keistimewaan ATV itu menggunakan bateri yang lazimnya dicas satu malam seterusnya bertahan sehingga lapan jam menggunakan kenderaan berkenaan.

“Apabila menggunakan bateri ia tidak mengeluarkan bunyi bising selain dapat menjaga kawasan hutan daripada pencemaran udara apabila tidak menggunakan petrol. Selain ATV, kita juga menyediakan aktiviti perkhemahan serta aktiviti di hutan,” katanya.

Seorang pengunjung, Rosnani Nazri,37, berkata, dia tidak melepaskan peluang mencuba aktiviti ATV tersebut sekali gus dapat merasai sendiri ketenangan menikmati keindahan alam sekitar.

“Saya sememangnya sangat menyukai aktiviti lasak ini dan ATV menjadi tarikan terbaharu yang mampu menarik lebih ramai pengunjung di kawasan pelancongan Bukit Ayer ini,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya