Agensi di bawah KASA siap sedia digerak hadapi banjir  - Utusan Malaysia

Agensi di bawah KASA siap sedia digerak hadapi banjir 

MANSOR OTHMAN (tiga dari kanan)  turun padang mengutip sampah-sarap di sekitar Pantai Batu Ferringhi, Pulau Pinang hari ini pada program pembersihan pantai sempena Hari Alam Sekitar Negara 2021.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Kesemua agensi di bawah Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) telah diarahkan bersiap sedia untuk berdepan bencana banjir yang berlaku di beberapa negeri susulan hujan lebat berterusan dalam tempoh beberapa hari kebelakangan ini. 

Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Mansor Othman berkata, amaran hujan lebat berterusan telah dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi dan persediaan menghadapi bencana itu telah digerakkan di seluruh negara. 

“Kita telah arahkan semua agensi di bawah KASA untuk bersedia berdepan dengan bencana banjir ini kerana amaran hujan lebat berterusan di beberapa negeri. 

“Malah, kita juga meminta agensi di bawah KASA untuk segera menyalurkan maklumat berkaitan banjir kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk tindakan selanjutnya,” katanya. 

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan program pembersihan pantai sempena Hari Alam Sekitar Negara 2021 di Pantai Batu Ferringhi, di sini hari ini. 

Sempena program itu, lebih 100 kilogram sampah-sarap di kawasan pantai dikutip oleh para sukarelawan terdiri daripada orang awam dan para penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pulau Pinang. 

Beberapa kawasan di Selangor, hulu Kelantan, Pahang, Negeri Sembilan dan Terengganu mula dilanda banjir semalam selepas hujan lebat berterusan selama beberapa hari. 

Menurut Mansor, selain hujan lebat berterusan, masalah saliran dan longkang tersumbat yang disebabkan oleh pembuangan sampah juga dikenal pasti menjadi salah satu faktor utama penyebab banjir kilat. 

“Salah satu sebab banjir kilat berlaku adalah disebabkan oleh pencemaran alam, sampah dibuang di dalam parit sehingga saliran tersumbat. 

“Pencemaran alam serta bencana akan dapat dikawal dengan kerjasama manusia dengan memastikan kita tidak merosakkan alam sekitar,” katanya. 

Tambahnya, sempena Hari Alam Sekitar Negara 2021, Jabatan Alam Sekitar telah berjaya mengumpulkan hampir 2,000 metrik tan bahan buangan elektrik dan elektronik (e-waste) dari isi rumah seluruh negara. 

“Jabatan Alam Sekitar telah menetapkan Sabtu terakhir setiap bulan diisytiharkan sebagai hari pengumpulan ‘e-waste’ seluruh negara. 

“Kita sasarkan dapat mengumpul 800 metrik tan sahaja, namun bermula Januari hingga sekarang hampir 2,000 metrik tan bahan buangan ‘e-waste’ telah berjaya dikumpul,” katanya.  -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya