17 tahun derita hidu air kumbahan - Utusan Malaysia

17 tahun derita hidu air kumbahan

SEORANG peniaga, Harlikah Rasmijan menunjukkan lubang tersumbat yang menyebabkan Bazar Kraftangan di Dataran Pahalawan dinaiki air kumbahan. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Bau busuk, jijik dan memalukan.

Itu gambaran tepat masalah yang dihadapi para peniaga Bazar Kraftangan di Dataran Pahlawan di sini yang berdepan masalah saliran pembentungan sejak 17 tahun lalu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Kebajikan Peniaga Heritage Gallery, Kadir Ahmad, 45, berkata, aduan telah dibuat kepada badan pengurusan bersama (JMB) dan pihak pemaju, namun tiada tindakan diambil seolah-olah lepas tangan.

Katanya, kegagalan pam yang sudah uzur menyebabkan saluran tersumbat dan air kumbahan naik ke permukaan sehingga membanjiri seluruh kawasan bazar.

“Sudah 10 tahun pihak JMB berjanji untuk menukar pam baharu, tetapi tiada tindakan susulan. Masalah ini semakin serius kerana kerap berlaku sehingga empat kali sebulan.

“Lebih seratus aduan telah dibuat sejak 17 tahun lalu, malangnya hanya dipandang sepi. Mereka pula menuding jari menyalahkan peniaga. Jika air kumbahan melimpah, hampir 75 peniaga tidak dapat berniaga pada hari tersebut.

“Bila kita buat laporan, mereka tidak turun serta merta untuk melihat masalah ini. Terpaksalah peniaga membersihkan sendiri walaupun kami membayar duit penyelenggaraan setiap bulan,” katanya ketika ditemui.

Tinjauan akhbar ini di sekitar tapak bazar mendapati, terdapat sisa kotoran dan takungan air kumbahan yang masih belum dibersihkan.

Sementara itu, seorang peniaga, Abd. Halim Hamzah, 48, berkata, kegagalan pihak JMB dan pemaju menyelenggara dengan baik telah mencalarkan imej Melaka sebagai destinasi pelancongan terkemuka.

Jelasnya, ini kerana peniaga di situ ibarat duta kecil yang memperkenalkan budaya dan kraftangan tempatan kepada pelancong luar.

“Bayangkan apabila pelancong melangkah masuk ke Heritage Gallery dan mereka dapati kawasan ini dipenuhi air kumbahan. Bukan sahaja peniaga terkesan tetapi imej Melaka juga akan terjejas.

“Saya berharap kerajaan negeri dapat memberi perhatian kepada masalah ini yang sudah berlarutan sejak sekian lama supaya para peniaga dapat mencari rezeki dengan selesa,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya