TAMPIN: Seorang wanita tetap tabah meneruskan rutin menjaga ibunya yang terlantar walaupun berdepan dengan kesukaran kehidupan.
Salmiah Shamsudin, 57, dari Felda Bukit Rokan, dekat sini berkata, dia mula menguruskan ibunya, Fatimah Tukiman, 76, yang diserang angin ahmar.sejak lapan tahun lalu
Jelasnya, ibunya itu pada mulanya hanya mengalami angin ahmar ringan namun kesihatan semakin memburuk sehingga menyebabkan ibunya terlantar.
“Sebelum ini, emak menggunakan tiub untuk minum susu tapi apabila malam dia selalu mengadu sakit jadi saya menggunakan picagari untuk memberi emak minum susu.
“Emak memerlukan sekurang-kurangnya 15 tin susu dan kami mendapat bantuan sebanyak tiga tin susu khas serta lampin pakai buang daripada pihak Baitulmal sejak lebih dua tahun lalu,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Tambah Salmiah, baki perbelanjaan 12 tin susu pula adalah menggunakan wang sara hidup Felda milik ibunya itu dan ditampung oleh dia dan adik-beradiknya yang lain.
“Hanya susu itu yang memerlukan perbelanjaan yang lebih kerana satu tin susu khas harganya sekitar RM97, setiap bulan perbelanjaan untuk susu sahaja sudah mencecah RM1,000.
“Kalau bantuan tin susu dapat diberi lebih, tentu sahaja dapat meringankan beban kewangan kami adik-beradik yang majoritinya hanya bekerja kilang,” katanya lagi.
Orang ramai yang ingin memberikan sumbangan boleh menyalurkannya menerusi akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 0511341000057099 atas nama Salmiah Shamsudin. -UTUSAN ONLINE