SEPANG: “Sebak rasanya dapat jejak kaki balik Malaysia. Lebih setahun tak dapat jumpa ayah,” kata Nita Kaur, salah seorang daripada rakyat Malaysia dari Singapura yang pulang ke tanah air menerusi Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL).
Wanita berusia 50-an tersebut bekerja di Singapura dan tidak bertemu bapanya sejak Ogos tahun lalu, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini dengan pesawat Singapore Airlines (SQ108).
Meluahkan perasaannya, Nita berkata, sepanjang berada di Singapura, dia sangat merindui bapanya yang tinggal di Muar, Johor, malah, hampir setiap hari turut menghubunginya secara ‘video call’ bagi melepaskan kerinduan.
“Saya dan keluarga berada di Singapura, tetapi, ayah saya di sini (Malaysia). Sangat gembira, teruja dan sedikit beremosi apabila akhirnya dapat pulang ke tanah air.
“Tak sabar nak jumpa ayah dan saya harapkan, tiada lagi ‘lockdown’ selepas ini… tolonglah, cukuplah,” katanya sebak kepada pemberita ketika ditemui di KLIA di sini semalam.
Seorang lagi rakyat Malaysia bekerja di Singapura, Khadijah Ahmad, 54, meluahkan rasa lega dan bersyukur apabila mengetahui kedua-dua negara bersetuju untuk melaksanakan VTL tersebut.
“Hampir dua tahun sejak pandemik Covid-19, saya tidak pulang ke Malaysia. Rasa gembira dan tak sabar-sabar bertemu keluarga.
“Sebelum ini, saya memohon MyTravelPass untuk pulang ke tanah air tetapi tidak diluluskan. Dengan pelaksanaan VTL, sudah tentu ia suatu usaha yang baik, membolehkan rakyat Malaysia bekerja di Singapura pulang ke tanah air untuk bertemu keluarga,” ujarnya.
Dalam pada itu, rakyat Singapura, Dr. Chan Kah Kiong, 81, yang tiba ke Malaysia atas urusan perniagaan turut memuji pelaksanaan VTL antara kedua-dua negara.
“Saya tidak menghadapi sebarang masalah sepanjang menyelesaikan urusan di KLIA, semuanya berjalan dengan lancar. Bagi saya, VTL ini suatu yang baik dan bermanfaat.
“Kehadiran saya ke Malaysia atas urusan perniagaan dan akan berada di sini selama lima hari. Saya nasihatkan kepada mereka yang ingin melakukan perjalanan di bawah pelaksanaan VTL ini supaya melakukan persediaan rapi bagi mengelakkan sebarang masalah,” katanya. -UTUSAN ONLINE