Rizky Aiskrim teroka pasaran utara selepas rentas negeri dibenarkan - Utusan Malaysia

Rizky Aiskrim teroka pasaran utara selepas rentas negeri dibenarkan

PEMILIK Rizky Aiskrim, Borhan Omar mengambil peluang meluaskan pasaran aiskrim buatan sendiri miliknya ke kedai-kedai runcit di Perlis dan Kedah selepas rentas negeri dibenarkan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALIK PULAU: Sebaik sahaja rentas negeri dibenarkan pada 11 Oktober lalu, pemilik Rizky Aiskrim tidak menunggu lama untuk meluaskan pasaran aiskrimnya ke negeri-negeri lain di utara Semenanjung.

Borhan Omar, 50, yang mula menjual aiskrim buatan sendiri pelbagai perisa sejak 2017 berkata, Perlis menjadi negeri pertama yang dijelajah untuk memasarkan produk aiskrimnya selepas kerajaan membenarkan rentas negeri.

“Pada masa ini, saya menggunakan cara meletakkan peti ais di kedai-kedai runcit di Perlis kerana terdapat permintaan di sana.

“Saya ada sekitar 30 peti ais sendiri dan merancang untuk meletakkan lebih 20 peti ais di kedai-kedai runcit di Perlis dan Kedah selepas ini,” katanya di sini hari ini.

Menurut Borhan, sebelum ini dia meletakkan peti-peti ais berkenaan di 25 buah sekolah dan koperasi di Pulau Pinang, namun, disebabkan situasi Covid-19, perniagaan aiskrim di sekolah terpaksa dihentikan buat sementara.

“Semasa Covid-19, saya hilang pendapatan lebih RM20,000 sebulan kerana aiskrim tidak dapat dipasarkan di sekolah-sekolah serta di majlis sosial.

“Namun, saya tidak berhenti berniaga dan teruskan perniagaan secara kecil-kecilan di pusat operasi Rizky Aiskrim di Pulau Betong, ketika itu, dalam sebulan, untung hanya sekitar RM1,000,” katanya.

Oleh itu katanya, dia tidak menunggu lama untuk terus bergerak mengembangkan perniagaan Rizky Aiskrim ke kedai runcit di utara selepas ini.

“Perniagaan aiskrim buatan sendiri ini saya mulakan selepas berhenti kerja dan mengambil tawaran skim pemisahan sukarela (VSS).

“Jadi, saya perlu teruskan kerana banyak yang telah saya dan keluarga korbankan demi meneruskan perniagaan ini terutama ketika tempoh pandemik Covid-19,” katanya.

Rizky Aiskrim kini mempunyai tujuh perisa antaranya coklat, kelapa, strawberi dan lain-lain juga telah memperoleh sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan dijual pada harga antara RM10 hingga RM1.30.

Bagi mereka yang ingin mendapatkan Rizky Aiskrim, anda boleh meninjau laman Facebook, Rizky Aiskrim Balik Pulau Penang atau berhubung di talian 016-4984300.  -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya