Pengusaha udang galah tarik nafas lega - Utusan Malaysia

Pengusaha udang galah tarik nafas lega

MOHAMAD Izzudin Jizan (kiri) menunjukkan hasil ternakan udang galah yang dijaring dari kolam ternakan ketika ditemui Utusan Malaysia di Kampung Merual, Seri Menanti, Kuala Pilah hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan tahun lalu, pengusaha ternakan udang galah juga turut terkesan apabila hasil ternakan mereka tidak dapat dijual ke pasaran.

Situasi itu, tidak terkecuali kepada kira-kira 50 orang penternak udang galah di Negeri Sembilan yang merupakan pengeluar udang galah ternakan kedua tertinggi di negara ini.

Seorang penternak udang galah di Kampung Merual, Seri Menanti, di sini, Mohamad Izzudin Jizan, 32, berkata, sejak PKP, ia waktu yang paling sukar kepada penternak-penternak udang galah apabila tiada permintaan terutama dari pasaran utama mereka iaitu Singapura.

“Udang galah ini diternak dan dipasarkan secara hidup-hidup untuk pasaran restoran dan majoriti kolam pancing rekreasi terutama di Singapura.

“Bagaimanapun, semasa PKP, restoran ditutup termasuk kolam pancing, bukan sahaja dalam negara, malah juga di Singapura. Boleh dikatakan hampir puluhan ribu saya rugi kerana hasil udang galah sudah sedia untuk dijual namun tiada permintaan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.

Mohamad Izzudin yang mempunyai 24 buah kolam ternakan udang galah menambah, selepas lebih kurang setahun setengah berdepan keadaan tidak menentu pasaran, dia kini mampu menarik nafas lega apabila permintaan kembali pulih walaupun masih perlahan terutama dari Singapura.

Jelasnya, permintaan kembali meningkat selepas tidak ada lagi PKP dan Negeri Sembilan memasuki Fasa 4, Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Semasa PKP memang terkesan sungguh, jualan dari pasaran tetap langsung tiada, kami terpaksa menjual kepada orang-orang kampung dan mereka yang hanya membeli dalam jumlah kecil. Bagaimanapun, kini pasaran kembali pulih, peraih dari Singapura setiap minggu, dua kali mereka datang membeli hasil.

“Isu sekarang cuma harga sahaja yang rendah iaitu sekitar RM60 sekilogram, sebelum ini kami boleh menjual sekitar RM66 sehingga RM70 sekilogram kepada peraih. Masalah lain yang dihadapi penternak adalah harga makanan ternakan udang air tawar yang meningkat, itu juga sedikit sebanyak menambahkan kos penternakan,” katanya lagi.

Mampu untuk mengeluarkan hasil sehingga 500 kilogram dalam sebulan, Mohamad Izzudin menambah, dia juga telah membuka sebuah kolam memancing rekreasi di Paroi, di sini sejak sebulan lalu.

“Ia sebagai langkah untuk saya tidak terlalu bergantung kepada permintaan dari Singapura. Alhamdulillah permintaan dalam kalangan pengunjung juga semakin hari semakin bertambah, setidak-tidaknya ia mampu menampung pengeluaran hasil ternakan udang galah yang saya usahakan dan rakan-rakan pengusaha yang lain,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya