SEPANG: Ibarat ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’. Begitulah nasib nelayan persendirian yang hanya bergantung kepada hasil tangkapan harian demi sesuap nasi.
Seorang nelayan yang ditemui Utusan Malaysia di tengah laut Pantai Bagan Lalang di sini kelihatan hampa ketika disapa sewaktu sedang menjala ikan.
Dia yang dipanggil sebagai Pak Onn berkata, pada hari tersebut sudah lima pusingan dia berulang alik mencari ikan, namun tidak banyak ikan jenis baik yang berjaya ditangkap.
“Ini sahaja ikan yang dapat hari ini. Biasanya saya bagi percuma sahaja kepada sesiapa kalau dapat ikan biasa-biasa. Tak jual pun.
“Kadang-kadang ikan pun ikut musim, kadangkala dapat ikan banyak, kalau nasib tak baik, tak dapat apa-apa. Kalau musim panas macam ni selalunya ikan tak muncul, ikut rezeki,” katanya di sini baru-baru ini ketika sesi lawatan hutan paya bakau menyusuri pantai Bagan Lalang oleh Hotel Avani Sepang Goldcoast Resort.
Bapa kepada enam anak itu memberitahu, pendapatannya hanya bergantung kepada jualan hasil laut yang diperoleh setiap hari sepanjang 25 tahun sebagai nelayan kecil-kecilan.
Pak Onn yang kini mencecah umur 55 tahun berkata, hasil pendapatannya pula tidak sepenuhnya digunakan untuk perbelanjaan isi rumah, namun dia perlu memperuntukkan wang hasil jualan untuk mengisi petrol bot dan kos menyelenggara pengangkutan utama itu.
“Beginilah setiap hari, kalau musim tengkujuh atau cuaca tidak baik, duduk di rumah sahaja. Walaupun terpaksa berpanas perlu juga turun ke laut. Biarpun dapat hasil sedikit, saya reda dan bersyukur dan anggap itu sahaja rezeki saya pada hari ini,” katanya. -UTUSAN ONLINE