PETALING JAYA: Kemunculan ikan yu paus yang berlaku di Pulau Pinang semalam tiada kaitan terhadap kejadian bencana alam.
Malah, kemunculan ikan tersebut menjadi perkara biasa yang sering berlaku di perairan selat melaka bermula bulan Disember sehingga Februari tahun hadapan.
Pengkaji Sains Maritim Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. Zulfigar Yasin berkata, perkara itu menjadi kebiasaan pada penghujung tahun dan spesis tersebut sering menjadikan perairan selat melaka sebagai tempat persinggahannya.
“Apabila mendekati penghujung tahun, kemunculan ikan yu paus akan dilihat melalui perairan selat melaka yang menjadi tempat persinggahan spesies berkenaan dan seterusnya beralih ke Thailand dan Lautan Hindi.
“Ikan yu paus mempunyai tempat jajahan yang begitu luas dan kemunculannya bukan amaran kepada bencana alam atau satu ancaman kepada manusia,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Semalam, Roslizan Ramli, 40, seorang nelayan di Teluk Kumbar, Pulau Pinang tidak menyangka terserempak dengan ikan yu paus bersaiz kira-kira tujuh meter ketika dalam perjalanan keluar memancing dekat belakang Pulau Kendi.
Roslizan turut melahirkan kebimbangan dengan nasib yang bakal menimpa terutama hidupan laut sekiranya rancangan projek penambakan tiga buah pulau di situ diteruskan kelak.
Zulfigar menasihati masyarakat agar tidak mengganggu atau mendatangkan kecederaan kepada spesies berkenaan apabila terserempak ketika sedang memancing dan sebagainya.
“Saya berharap masyarakat terutama nelayan dapat memberikan laluan dan tidak mengganggu ikan yu paus kerana ikan tersebut merupakan satu hidupan laut yang terpelihara dan amat penting kepada ekosistem laut,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE