ALOR SETAR: Seorang guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerlun, Kubang Pasu di sini menerima Anugerah Princess Maha Chakri (APMC) 2021 setelah menunjukkan pencapaian istimewa dalam bidang perguruan, baru-baru ini.
Norhailmi Abdul Mutalib, 40, berkata, beliau berbangga dipilih memenangi anugerah peringkat antarabangsa itu sekali gus membawa pulang pingat, piala, sijil dan wang tunai AS$10,000 (RM41,535).
Menurutnya, anugerah tersebut diperkenalkan oleh Yayasan Princess Maha Chakri.
“Saya sepatutnya menerima anugerah ini di Istana Raja di Bangkok, Thailand, namun, akibat pandemik, saya menerimanya secara dalam talian di Konsulat Thailand di Pulau Pinang pada 29 Oktober lalu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Norhailmi berkata, beliau dipilih Kementerian Pendidikan (KPM) setelah menghantar pencalonan tahun lalu.
“Setiap negeri perlu menghantar dua calon guru dan akhirnya nama saya tersenarai pendek sebagai lima calon terbaik mewakili negara.
“Selepas itu, saya perlu melalui beberapa proses seperti sesi dokumentasi, pembentangan serta temuduga dan lawatan pegawai KPM ke sekolah,” ujarnya.
Kata beliau, anugerah yang diberikan kepada guru-guru ASEAN dan Timor Leste oleh Yayasan Princess Maha Chakri ini sekali gus membuktikan bahawa guru Malaysia juga mempunyai standard di peringkat antarabangsa walaupun mengajar di sekolah luar bandar.
Beliau yang juga berasal dari Simpang Empat, Perlis berkata, pemilihan itu berdasarkan pencapaian luar biasanya dalam membudayakan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) secara digital kepada pelajar, guru dan komuniti.
“Program tersebut berjaya memberi impak ke seluruh negara seperti webinar STEM yang dijalankan dengan kerjasama Agensi Nuklear Malaysia.
“Seiring dengan Pembelajaran Abad ke-21 (PAK-21), saya mahukan suasana pengajaran yang lebih ceria dan mampu menarik minat pelajar.
“Saya bersyukur dan kesemua pencapaian tersebut tidak dapat dicapai tanpa sokongan dan kerjasama dari warga SMK Jerlun, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah, KPM serta seluruh guru di sini,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE