D’ Petak Paksu tawar harga juadah berpatutan - Utusan Malaysia

D’ Petak Paksu tawar harga juadah berpatutan

KEDAI makan D’Petak Paksu yang terletak di sawah menarik perhatian orang ramai berikutan harga berpatutan di Kampung Sungai Baru, Simpang Empat, Arau, Perlis.- UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Berkonsepkan kongsi rezeki, kedai makan D’ Petak Paksu yang terletak di tepi sawah di Kampung Sungai Baru, Simpang Empat di sini menawarkan pelbagai juadah makanan daripada selera kampung hingga makanan barat pada harga yang berpatutan.

Meskipun baru sahaja beroperasi pada 10 Oktober lalu, namun, kedai makan yang berkonsep ala medan selera dengan kehadiran vendor yang menawarkan pelbagai juadah berlainan itu tidak lekang dengan pengunjung tempatan termasuk dari negeri-negeri lain yang datang ke Perlis untuk bercuti.

Pemiliknya, Nur Yusairy Mansor, 43, yang lebih mesra disapa Pak Ngah berkata, kedai makan yang dibina atas tanah seluas 0.144 hektar itu dibangunkan atas tanah bendang bapanya yang biasanya dipanggil ‘petak’ dalam kalangan orang kampung.

Katanya, kedai yang dibuka setiap hari dari pukul 7 pagi hingga 11 malam kecuali Jumaat itu menawarkan makanan dan minuman pada harga yang berpatutan iaitu harga air teh ais serendah RM1, ais batu campur dan cendol pada RM2.

“Kami juga menyediakan lempeng bermula dari harga RM2 yang menjadi antara menu yang digemari pelanggan yang mahukan menu ala kampung sambil duduk di gazebo sambil menikmati pemandangan di tepi petak sawah.

“Konsep kongsi rezeki yang kami buat ini bukan dengan memanggil peniaga makanan yang lain untuk sama-sama berniaga di sini tetapi juga dengan menawarkan harga makanan yang berpatutan untuk sama-sama berkongsi rezeki dengan pelanggan.

“Contohnya, kalau sebelum ini vendor menjual bihun sup pada harga RM5 semangkuk, tetapi di sini dijual pada harga RM4 bagi mengikut konsep kongsi rezeki yang kami terapkan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Bapa kepada empat orang anak yang juga lulusan Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik dari Universiti Kuala Lumpur British Malaysian Institute (UniKL BMI) tersebut memberitahu, sambutan yang baik dalam kalangan pelanggan membolehkan dia bersama lapan lagi vendor di kedai tersebut mencapai jualan keseluruhan kira-kira RM10,000 hingga RM15,000 sehari.

“Buat masa ini, kami mempunyai lapan vendor dengan sewa tapak sebanyak RM30 sehari yang menawarkan makanan seperti nasi kandar, bihun sup, makanan barat, roti canai, Sate Sri Bongor, char kuey teow, cucur udang dan keropok lekor.

“Insya-Allah, pada masa depan, kami merancang untuk memperluaskan kawasan ini dan kami juga berharap agensi kerajaan yang berkenaan dapat membantu seperti membina tempat untuk vendor supaya ruang makan ini dapat diperluaskan serta memberi peluang kepada peniaga-peniaga kecil yang lain untuk turut sama berniaga di sini,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN