PUTRAJAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad hari ini mengingatkan golongan lelaki supaya tidak culas dalam memberi nafkah kepada bekas isteri.
Peringatan tersebut susulan langkah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) akan mengenakan tindakan sekatan akaun bank kepada bekas suami yang tidak bertanggungjawab.
“Sebenarnya, jika lelaki itu lari sekali pun, ia adalah sesuatu yang berdosa apabila dari segi syarak kerana jelas dia menzalimi bekas isteri dan anak-anak pasangan tersebut,” katanya selepas merasmikan majlis penutup Persidangan Halal Kebangsaan 2021, di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan JKSM semalam yang sedia bertindak susulan pewartaan tiga akta yang berbeza pada 10 Februari lalu termasuk tindakan keras penggantungan akaun bank meliputi Akta Perkhidmatan Kewangan 2013, Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 serta Akta Institusi Kewangan Pembangunan 2002 yang sudah pun dipinda dan diwartakan.
Mengulas lanjut, Idris bagaimanapun memberi jaminan, pelaksanaan sekatan akaun bank itu akan dapat dilakukan dalam masa terdekat kerana ia melibatkan pelbagai pihak dan prosedur.
“Insya-Allah, isu ini sedang diambil tindakan oleh JKSM, malah, semalam, ketika mesyuarat pasca Kabinet peringkat agensi Jakim, saya telah minta mereka beri perhatian serius,” tegasnya namun, tidak menetapkan sebarang kerangka masa spesifik untuk pelaksanaan sekatan akaun bank dikenakan ke atas golongan suami culas tersebut.
Sementara itu, mengulas mengenai ada beberapa negeri yang melaksanakan peperiksaan tersendiri untuk murid sekolah agama dikelolakan mereka, beliau mengambil maklum isu itu, namun, hanya Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) yang diuruskan Jakim diperakui sebagai peperiksaan standard berpusat di seluruh negara ketika ini.
“Memang ia tugas Jakim selaku agensi penyelaras di peringkat kebangsaan, malah, keputusan UPKK diterima Kementerian Pendidikan untuk kemasukan ke sekolah khusus,” katanya.
UPKK mula dilaksanakan oleh pihak Jakim pada 1995 lalu selepas sukatan pengajian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) telah diperkenalkan serentak di seluruh negara sejak 1990.
Bagaimanapun, tahun ini, peperiksaan itu digabungkan melibatkan 464,255 murid tahun lima dan enam dengan tempoh dipanjangkan selama 12 hari berbanding empat hari sebelum itu, berdasarkan Modul Penilaian KAFA yang digubal khusus untuk mematuhi prosedur operasi standard ditetapkan Majlis Keselamatan Negara bagi mengekang penularan Covid-19.
Keputusan UPKK diterima untuk kemasukan ke tingkatan satu Sekolah Berasrama Penuh Integrasi, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama dan Sekolah Menengah Agama Persekutuan. -UTUSAN ONLINE