BUKIT MERTAJAM: Usianya belum menjangkau sebulan, namun, Muhammad Habiburrahman Muhamad Arshad telah dikesan mempunyai masalah frekuensi pernafasan yang aneh dan cepat.
Pada masa sama, jantung bayi malang itu juga didiagnosis mempunyai masalah yang kompleks selepas satu pemeriksaaan lanjut dijalankan.
Muhammad Habiburrahman yang juga bayi pramatang pernah dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) dari Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar sehari selepas dilahirkan untuk menjalani pembedahan jantung ‘Percutaneous Coronary Intervention’ (PCI) untuk melebarkan setenosis arteri koronari.
Bagaimanapun, pembedahan itu dipercayai bertujuan melanjutkan nyawanya untuk sementara waktu sahaja dan kini Muhammad Habiburrahman sedang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) dengan bantuan pernafasan ventilator.
Dalam pada itu, pengerusi sebuah pertubuhan kebajikan, One Hope Charity and Welfare Bhd., Datuk Chua Sui Hau berkata, bayi berkenaan telah dikenal pasti mempunyai beberapa masalah kecacatan jantung seperti ‘intact verticular septum (IVS), ‘large patent ductus arteriosis (PDA) dan S/P ‘balloon atrial septostomy’ (BAS).
Katanya, atas nasihat pakar jantung, pembedahan jantung secara ‘arterial switch operation’ (ASO) perlu dijalankan dalam tempoh masa antara tiga hingga empat minggu selepas dilahirkan dengan kos pembedahan yang dianggarkan mencecah RM90,000.
Bagaimanapun beliau berkata, bapa kepada Muhammad Habiburrahman iaitu Muhamad Arshad Saib, 44, dan isterinya, Raihanah Khalid, 34, tidak mampu menanggung kos tersebut dan memohon kepada One Hope Charity and Welfare untuk membantu mereka mengumpul kos perubatan selain menguruskan hal ehwal rawatan dengan pihak hospital.
“Muhamad Arshad hanya bekerja sebagai penjaja air minuman di tepi jalan di Jitra, Kedah dengan pendapatan antara RM1,000 hingga RM2,000 sebulan manakala isterinya, Raihanah hanya suri rumah.
“Selain Muhammad Habiburrahman, pasangan itu juga dikurniakan tiga anak perempuan yang berumur antara empat hingga tujuh tahun dan mengikut Muhamad Arshad, mereka sekeluarga jarang merantau ke negeri lain kerana kehidupan yang sempit,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mereka yang ingin membantu mengumpul dana tersebut boleh menyumbang melalui akaun Public Bank atas nama One Hope Charity and Welfare di nombor 3201428817 atau menghubungi talian 016-4192192, 019-2322192 dan 04-5399212 untuk maklumat lanjut. -UTUSAN ONLINE