ALOR SETAR: Badan Bertindak Petani Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) mendakwa lebih 2,900 hektar sawah dalam kawasan MADA ditenggelami banjir sejak kira-kira dua minggu lalu.
Pengerusinya, Che Ani Mat Zain berkata, kejadian itu berpunca daripada bencana banjir dan fenomena air pasang besar yang masih berlarutan hingga kini di beberapa daerah di Kedah.
Katanya, keadaan tersebut mengundang kebimbangan dalam kalangan petani terhadap kemungkinan kemusnahan anak-anak pokok padi yang diusahakan.
“Biasanya, padi yang ditenggelami air boleh bertahan antara 10 hingga 15 hari. Jika air tidak surut dalam tempoh tersebut, anak-anak pokok padi akan rosak.
“Namun, dalam keadaan sekarang, kami menganggarkan ada kemungkinan lebih 60 peratus akan rosak. Keadaan itu sudah tentu mendatangkan kerugian kepada petani,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati kebanyakan sawah terlibat ditenggelami banjir antara 0.5 meter hingga satu meter.
Tambahnya, bencana banjir akibat hujan lebat serta fenomena air pasang besar itu diburukkan lagi dengan sistem pengairan yang tidak sempurna di beberapa kawasan.
“Demi menjaga kepentingan dan kebajikan petani, MADA perlu segera membuat bancian terhadap keluasan sawah yang rosak serta jumlah petani terlibat.
“Pihak kerajaan khasnya Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) pula perlu segera mengeluarkan dana untuk memberi bantuan kepada petani.
“Buat masa sekarang, pihak kami menganggarkan kalangan petani mengalami kerugian kira-kira RM150 serelung setelah mengeluarkan belanja untuk mendapatkan benih padi, racun dan mengupah kerja-kerja menabur dan meracun,” ujarnya.
Beliau menambah, pihak MADA juga diminta segera mengenal pasti infrastruktur yang mungkin rosak berikutan kejadian banjir serta fenomena air pasang besar tersebut.
“Semua itu perlu dilakukan demi kebaikan jangka masa panjang dan kerajaan diminta untuk menyediakan peruntukan khas untuk memperbaiki kerosakan tersebut,” katanya. -UTUSAN ONLINE