IPOH: Kesihatan pendakwah terkenal, Datuk Mohd. Kazim Elias yang mengalami kesakitan bengkak kaki dan betis kiri sejak lebih dua minggu lalu semakin baik.
Abangnya, Datuk Mohd. Najmuddin Elias berkata, Mohd. Kazim yang lebih dikenali sebagai Ustaz Kazim sudah mula boleh berjalan namun kakinya masih lemah untuk berjalan seperti biasa.
Menurutnya, untuk itu, adiknya itu terpaksa bergerak menggunakan sebuah skuter yang diwakafkan di tempat Mohd. Kazim mengajar di Pusat Pendidikan al-Barakah di Manjoi di sini.
“Keadaan kesihatannya semakin baik, bengkak pada betis sudah surut, banyak perubahan selepas beliau dirawat secara perubatan Islam.
“Beliau sudah boleh berjalan tapi perlahan-lahan, untuk memudahkan pergerakannya, beliau menggunakan skuter.
“Beliau juga sudah boleh mengajar namun buat masa ini hanya di dalam al-Barakah. Undangan untuk mengadakan ceramah di luar memang ada tapi dihadkan buat sementara kerana keadaan kesihatannya, buat masa ini beliau tumpu mengajar di al-Barakah dahulu.
“Sesi kuliah agama lebih tumpukan secara atas talian kerana cara itu tidak banyak pergerakan, dakwah tetap diteruskan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Menurutnya, Mohd. Kazim dijadual menjalani pemeriksaan doktor pada betis yang bengkak berikutan dikesan terdapat bahagian yang terasa keras.
“Kita tidak tahu sama ada bahagian yang keras itu darah kerana apabila ditekan, ia agak keras sedangkan bahagian lain lembut.
“Doktor akan membuat pemeriksaan kalau-kalau ada jangkitan kuman namun secara fizikalnya keadaannya semakin sihat,” katanya.
Mengenai penyakit Mohd. Kazim yang dipercayai akibat perbuatan sihir, Mohd. Najmuddin berkata, pihaknya tidak menghiraukan sama ada perubatan secara Islam memberi kesan kepada pihak melakukan perbuatan itu.
“Itu kami tak mahu ambil tahu, janji kami berusaha dan sembuh.
“Kami tak berhasrat untuk tahu lebih lanjut siapa yang buat, kesan kepada orang yang buat. Itu serah kepada Allah, janji adik saya kembali sihat.
“Kalau betul (disihir) kami tak ada nak berdendam, harapan kami mereka kembalilah ke jalan Allah,” katanya.
Sebelum ini, Mohd. Najmuddin tidak menolak kemungkinan sakit bengkak kaki kiri dan betis yang dialami Mohd. Kazim akibat perubatan sihir setelah pakar perubatan di hospital tidak dapat mengesan punca sebenar penyakit adiknya itu.
Menurutnya, beberapa penemuan barang meragukan seperti abu dan gambar Mohd. Kazim yang telah dibakar di dalam kawasan pusat pendidikan itu.
Katanya, pihaknya tidak menolak kemungkinan barang yang ditemui itu mempunyai unsur (mistik) berdasarkan sakit yang alami Mohd. Kazim. -UTUSAN ONLINE