IPOH: Sebuah taman untuk kucing jalanan akan dibina di Pasar Awam Tanjung Rambutan di sini bagi menempatkan kucing-kucing terbiar yang dibuang di kawasan tersebut.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad berkata, pembinaan taman tersebut akan mengatasi masalah kebersihan disebabkan najis haiwan itu.
Katanya, cadangan pembinaan taman berkenaan telah dikemukakan kepada Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) untuk pertimbangan.
“Masalah membabitkan kucing liar di kawasan pasar antara isu yang menjadi rungutan peniaga di sini. Kehadiran haiwan itu yang banyak menyebabkan persekitaran pasar menjadi kotor.
“Oleh itu, kita cadangkan dibina sebuah taman untuk kucing yang mana idea sama telah pun dilaksanakan di negeri lain.
“Lokasi pembinaan taman itu telah pun dikenal pasti dan cadangan itu telah dikemukakan kepada MBI. Pada dasarnya, mereka bersetuju dan buat masa ini, kita tunggu maklum balas MBI,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan dialog bersama peniaga dan penjaja kecil di Pasar Awam Tanjung Rambutan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Muhamad Arafat berkata, dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah menyatakan kesediaan untuk menguruskan taman tersebut.
Katanya, pihaknya juga bersedia memberi komitmen termasuk dari aspek peruntukan bagi menguruskan taman berkenaan.
“Setakat ini, ada dua NGO yang datang kepada kita dan menawarkan diri. Kita akan cadangkan mereka kepada MBI dan sebarang keputusan tertakluk kepada perbincangan antara mereka.
“Sekiranya taman ini berjaya dibina, ia akan menjadi taman pertama untuk kucing di dalam pasar di daerah Kinta,” katanya. – UTUSAN ONLINE