SHAH ALAM: Kerajaan negeri akan membentangkan Enakmen Penggerak Belia Selangor dalam sidang Dewan Undangan Negeri pada bulan hadapan sebagai bukti komitmen pihaknya untuk memperkasa belia dalam 10 teras utama.
Menurut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, antara teras utama tersebut adalah pendidikan dan latihan, kemasyarakatan, jaringan dan keusahawanan.
“Kita juga akan memperkasa belia dalam bidang kebudayaan dan kesenian, kecergasan, kepimpinan dan organisasi, kesejahteraan dan kesihatan.
“Selain itu kita akan membimbing belia di bawah teras pengantarabangsaan, usahawan dan pekerjaan, teknologi maklumat dan komunikasi serta agama dan spiritual,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan watikah sebagai Penggerak Belia Selangor (PeBS) kepada pemimpin belia dari seluruh negeri yang turut dihadiri Exco Generasi Muda, Sukan Dan Modal Insan Selangor, Mohd.Khairuddin Othman.
Amirudin berkata, golongan belia yang merupakan 50 peratus daripada populasi penduduk negeri ini memerlukan hubungan kelompok tersebut dengan kerajaan negeri diurus dengan sistematik.
Menurutnya, untuk mencapai objektif tersebut, maka, pihaknya mewujudkan PeBS yang terdiri daripada 280 pemimpin belia yang dilantik dari seluruh negeri ini.
“Populasi penduduk negeri ini adalah seramai 6.5 juta orang. Setakat suku tahun kedua 2021, golongan belia adalah seramai 2.9 juta orang.
“Maka, dengan melantik 280 PeBS hari ini, kita berharap kesemua mereka dapat membantu penglibatan 2.9 juta belia ini agar kita dapat mewujudkan hubungan baik dengan mereka,” katanya.
Dalam majlis sama 10 Exco Jawatankuasa Induk PeBS turut dilantik oleh kerajaan negeri. -UTUSAN ONLINE