PUTRAJAYA : Solat Jumaat di Masjid Putra di sini kembali meriah apabila seramai 1,200 jemaah berpeluang menunaikan solat hari ini berbanding 500 jemaah yang ditetapkan sebelum ini.
Kehadiran 1,200 jemaah itu adalah berdasarkan had kapasiti penuh masjid dengan amalan penjarakan 1.5 meter sebagaimana ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Jurucakap masjid ketika dihubungi berkata, jemaah mula tiba di masjid kira-kira pukul 11.30 pagi apabila pintu masjid mula dibuka.
Menurutnya, ada juga jemaah yang hadir kira-kira pukul 1 tengah hari, tetapi masih dibenarkan masuk kerana masih ada ruang solat yang kosong.
“Alhamdulillah, solat Jumaat hari ini meriah berbanding sebelum ini,” katanya.
Menurut beliau, buat masa ini, kapasiti Masjid Putra adalah terhad kepada 1,200 jemaah sahaja rentetan arahan penutupan Dewan Solat Utama dan Dewan Solat Wanita.
Jelasnya, ruang utama solat itu ditutup atas faktor keselamatan kerana kerja-kerja membaik pulih dan menaik taraf kubah masjid sedang dijalankan yang dijadualkan siap Jun tahun depan.
Situasi sama turut dapat disaksikan di satu lagi masjid di sini iaitu Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin apabila jemaah hadir dengan kapasiti penuh .
Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) semalam mengumumkan, kehadiran jemaah bagi solat Jumaat dan solat fardu di Wilayah-Wilayah Persekutuan dibenarkan mengikut had kapasiti masjid dan surau dengan penjarakkan 1.5 meter.
Ketetapan itu dibuat selepas mendapat perkenan Timbalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Sebelum ini, Masjid Putra terpalit isu layanan dua darjat susulan satu rakaman video tular kononnya pihak masjid membenarkan individu kenamaan masuk menunaikan solat Jumaat sedangkan jemaah lain tidak dibenarkan masuk. -UTUSAN ONLINE