PETALING JAYA : Seorang lelaki yang tular menunaikan solat di tengah jalan raya sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas di Jalan Ipoh, berhampiran Shell Taman City menghala ke pusat bandar semalam merupakan pesakit psikiatri.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.35 petang itu, lelaki warga tempatan berusia 30 tahun itu sepatutnya menerima rawatan pesakit psikiatri di Hospital Selayang, namun, telah melarikan diri daripada wad.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasa Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd. Salleh berkata, berikutan kejadian berkenaan, pihak Hospital Selayang telah dihubungi dan menghantar ambulans ke lokasi kejadian dan membawa lelaki tersebut untuk rawatan selanjutnya.
Kata beliau, pada mulanya, anggota JSPT Kuala Lumpur yang bertugas telah membuat rondaan setelah menerima maklumat berkaitan dengan kesesakan di Jalan Ipoh.
“Sampai ke tempat kejadian mendapati seorang lelaki sedang berdiri di tengah jalan sambil melaungkan azan dan bersolat.
“Anggota bertindak memujuk lelaki tersebut dan membawanya ke Stesen Minyak Shell berhampiran untuk tujuan menenangkannya,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, kata beliau, ketika kejadian, Lelaki tersebut juga memakai gelang putih yang menyerupai gelang hospital.
Terdahulu tular di laman sosial video berdurasi 29 saat memaparkan seorang lelaki sedang solat di atas jalan raya dengan tidak menghiraukan keadaan sekeliling sambil di pantau oleh anggota-anggota polis trafik.
Tindakan anggota tersebut yang berdiri dibelakang lelaki itu sambil mengarahkan kereta-kereta di jalan raya supaya terus bergerak agar tidak menyebabkan kesesakan lalu lintas mendapat perhatian warganet.-UTUSAN ONLINE